BATU PAHAT, Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa dirinya akan terus berjuang demi rakyat walaupun tanpa jawatan sebagai menteri.

Jelasnya, itu membuktikan bahawa dirinya bukanlah seorang yang sanggup melakukan apa sahaja demi jawatan.

“Kita perlu menegur demi kepentingan rakyat dan negara. Kalau demi kepentingan saya, ‘yes boss!’ ‘Comfirm’ jadi menteri.

“Saya boleh, bukan tidak boleh sokong. ‘Yes’ kalau tempatnya baik, ‘No’ kalau tempatnya tidak baik,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong, di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Batu Pahat, Johor hari ini.

Malah jelasnya, adalah wajar untuk ahli Umno memberikan teguran dan pandangan kepada kepimpinan sekiranya keadaan memerlukan.

Shafie juga berkata bahawa dirinya juga tidak maksum dari melakukan kesalahan, oleh itu adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya teguran diberikan kepada yang melakukan kesilapan.

“Salah silap kita memang ada, tapi sekurang-kurangnya bila memimpin negara, mesti berpegang pada agama.

“Kalau imam bacaannya tidak betul, kena tegur. Itu baru bawa ke landasan yang sebenarnya,” katanya di hadapan perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong.

Sebelum ini, Shafie pernah menjelaskan bahawa beliau bukanlah ‘Yes Man’ dan akan terus memperjuangkan parti bagi memastikan Umno terus kukuh di Malaysia.