Ahad, 23 Ogos 2015

Kaji semula perjanjian air Malaysia- Singapura

KEADILAN DAILY


JOHOR- KEADILAN Johor menggesa kerajaan negeri dan persekutuan mengkaji semula perjanjian air Malaysia- Singapura 1962 yang disifatkan sebagai berat sebelah, kata Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau merujuk kenyataan Exco Kerja Raya, Kemajuan Bandar dan Wilayah, Datuk Hasni Mohamad yang menyatakan kerajaan negeri komited untuk membekalkan 250 juta gelen air mentah bersamaan 1.125 bilion liter sehari ke republik itu.

Jimmy berkata, perjanjian itu seharusnya dikaji semula memandangkan paras air di Johor kini semakin kritikal

“Bukan sahaja paras air di Sungai Johor turun malah paras air di Sungai Lebam, Kota Tinggi serta Sungai Layang dan Sungai Linggiu telah jatuh ke satu tahap yang kritikal,” katanya dalam kenyataan media.

Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk di bahagian timur Johor Bahru, Masai, Pasir Gudang dan Kota Tinggi kini terpaksa menghadapi catuan bekalan air berjadual.

Di kawasan berkenaan, katanya, bekalan air putus setiap dua hari dan hanya akan disambung semula sehari kemudian.

“Ini bermakna dalam satu minggu, penduduk yang terlibat hanya akan mempunyai akses bekalan air sebanyak 2 hari sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, adalah sukar untuk diterima apabila kerajaan BN lebih mengutamakan bekalan air ke Singapura dengan kos 3 sen bagi seribu gelen yang dibayar kepada Johor.

Beliau meminta penjelasan kerajaan mengapa perjanjian air yang hanya akan tamat pada 2016 itu tidak mengandungi sebarang klausa yang membenarkan pengagntungan bekalan air ke Singapura sekiranya paras air di Johor turun ke tahap kritikal.

“Sudahlah tarif air Johor baru sahaja dinaikan 25 peratus, bukan sahaja tiada peningkatan mutu air, sebaliknya akses air pula diganggu.

“Kami khuatir keadaan sebegini mungkin akan berulang pada masa depan sekiranya tiada pengkajian semula perjanjian air tersebut,” tegasnya yang mengingatkan kerajaan tidak menjadi seperti pepatah Melayu ‘Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Tiada ulasan: