Khamis, 13 Ogos 2015

J/kuasa Pemilih, ahli PAC baharu dilantik 19 Okt

Azalina Othman
Datuk Seri Azalina Datuk Othman Said. - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Kabinet telah membuat keputusan untuk melakukan pertukaran Jawatankuasa Pemilih dan pelantikan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa PAC pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan ini berikutan kerajaan mengambil kira beberapa faktor utama termasuk masa yang diperlukan untuk nama-nama baru dicadangkan untuk menggantikan beberapa Ahli Jawatankuasa Pemilih yang sedia ada.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perlu rombakan j/kuasa pemilih sebelum lantik PAC]

"Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih yang merupakan jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC dalam konteks ini.  
 
"Ahli Jawatankuasa Pemilih akan terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pembangkang. Sehubungan dengan itu, parti-parti akan mencadangkan beberapa nama-nama baru termasuk BN yang akan mencadangkan nama Ketua Whip yang baru. Pada masa yang sama, terdapat juga pertukaran Ahli Jawatankuasa yang mewakili parti MIC.
 
"Bagi pihak Pembangkang juga, ada kebarangkalian nama baru akan  dicadangkan daripada parti Pas berikutan pecahan mereka daripada perikatan bersama DAP dan PKR. Selain daripada itu, Ketua Pembangkang juga akan digantikan dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 19 Oktober depan. 
 
Menurut Azalina lagi, pelantikan bagi ahli PAC itu hanya akan dilaksanakan sebaik sahaja pertukaran Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemilih selesai.
 
"Setelah itu, PAC dapat meneruskan semua tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1MDB," ujarnya.
 
 
Dalam pada itu Azalina menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak akan menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja. 
 
"Prosiding tersebut dapat diteruskan selepas pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC yang baru dilakukan pada 19 Oktober 2015 nanti. Pada masa yang sama, PAC juga diharapkan dapat memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB disiapkan untuk diteliti oleh PAC," katanya.
 
 

Tiada ulasan: