KULIM - Pihak polis memberi amaran ia tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan
hubungan baiknya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata,
tindakan tegas menanti mereka yang cuba berbuat demikian terhadap
kedua-dua agensi penguatkuasa itu.
"Golongan yang mahu mengeruhkan keadaan akan berhadapan dengan tindakan
tegas. Saya ingatkan semua pihak jangan mengambil kesempatan
mengeruhkan hubungan baik pihak polis dengan SPRM melalui media maya
atau sebarang siaran", katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 di
sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.
Noor Rashid mengulas tindakan beberapa pihak yang cuba mengeruhkan
hubungan baik sedia terjalin di antara polis dan SPRM menerusi pelbagai
laporan tidak berasas di dalam media sosial.
Mengenai usaha polis untuk melumpuhkan kegiatan pengganas IS di negara
ini, Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, pihaknya telah berjaya
menangkap kira-kira 100 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan
pengganas itu.
Menerusi usaha perisikan yang berterusan, kegiatan kumpulan itu untuk
merekrut lebih ramai rakyat negara ini untuk menganggotai IS telah
hampir dilumpuhkan, katanya.
Katanya, siasatan menunjukkan laman sosial merupakan medium perhubungan
utama untuk mempengaruhi individu di negara ini untuk menyertai
pertubuhan pengganas itu di Syria.
Kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan Perkhemahan Kor
Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali ke-17 tahun ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan