KUALA LUMPUR, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos memohon maaf kepada Datuk Seri Khaled Nordin, kerana meminta Menteri Besar Johor itu meletak jawatan.


Jamal semalam mengecam tindakan Khaled ‘baling batu, sembunyi tangan’, kerana meminta ahli Umno Johor menyokong kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, tetapi pada masa sama, membiarkan ‘orang-orangnya’ mengkritik Najib.

The Star hari ini melaporkan, Jamal menarik balik kenyataan yang dibuatnya semalam dan mendakwa ia adalah pendapat peribadinya yang dibuat dalam sebuah kumpulan tertutup.

Jamal memutuskan untuk memohon maaf, selepas mendapat nasihat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Semalam, Jamal dilaporkan mendakwa Khaled menyeru ahli Umno negeri itu memberi sokongan kepada Najib, supaya beliau mempunyai kekuatan untuk menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh enam bulan.

Tetapi, menurutnya, dalam senyap-senyap, semua jentera kanan Khaled dan anaknya sendiri, Akmal Saufi melancarkan serangan secara terang-terangan terhadap Perdana Menteri.