KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang licik dan bukan bersih.


Malah, beliau juga mendakwa politik wang bermula pada zaman Dr Mahathir yang memegang tampuk kepimpinan negara selama 22 tahun.

Berikutan itu, beliau turut menyifatkan Barisan Nasional (BN) hari ini hanya mewarisi budaya lama dan tidak boleh dibaiki lagi.

Tegasnya, Dr Mahathir tidak boleh membersihkan dirinya bahawa beliau tidak pernah menggunakan akaun peribadi untuk wang biaya politik.

“Itu licik, bukan bersih namanya. Pada zamannyalah (Dr Mahathir) politik wang bermula dan begitu berleluasa.

“Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) hanya mewarisi budaya lama yang tak boleh dibaiki lagi selain ganti BN.

“Sebelum BN bungkus, bungkus dulu untuk peribadi masing-masing,” katanya dalam posting di laman Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, dalam usaha menghalalkan tuduhan terhadap Najib kerana memasukkan dalam akaun peribadinya wang sebanyak RM2.6 billion yang kononnya adalah untuk pilihanraya ke-13, beliau dituduh berbuat perkara yang sama.

Jelasnya, tuduhan itu tidak berasas dan semata-mata fitnah.