Selasa, 18 Ogos 2015

Isytihar dulu harta, baru gubal undang-undang


Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
 
 
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mengisytiharkan semua harta, pendapatan dan perbelanjaannya sebelum menggubal undang-undang baharu tentang pembiayaan parti politik.
 
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, usaha itu hanya boleh dilakukan selepas Najib dan jemaah Kabinet yang lain membuat pengisytiharan tersebut.
 
"Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Datuk Seri Najib dan anggota jemaah menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus.
 
"Dengan cara itu kita mengharapkan mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan didakwa dan dihukum terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Beliau mengulas penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang diumumkan Perdana Menteri, pada Jumaat.
 
 
 
Najib berkata, jawatankuasa itu akan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif, bagi menentukan sesuatu dana itu salah atau tidak khususnya dalam perbelanjaan sesuatu pilihan raya.
 
Mengulas lanjut, Rafizi selaku Ahli Parlimen Pandan mencadangkan pembiayaan politik akan menjadi telus jika menggunakan kaedah kerajaan memperuntukkan geran kepada parti-parti politik mengikut jumlah sokongan dalam pilihan raya lalu.
 
"Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan.
 
"Sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik perlu diisytiharkan secara telus seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang matang amalan demokrasinya," ujarnya.
 
Rafizi berkata lagi, pendedahan Sarawak Report bahawa Najib didakwa telah membelanjakan jutaan ringgit ketika bercuti di luar negara pada tahun lalu membuktikan Perdana Menteri itu berbelanja mewah berbanding pendapatannya.
 
"Datuk Seri Najib telah membelanjakan sekitar USD1 juta (bersamaan RM3.5 juta) perbelanjaan melalui kad kredit CIMB dan Maybank ketika bercuti di Eropah dalam Ogos 2014.
 
"Pendedahan Sarawak Report itu menunjukkan berleluasanya gejala pimpinan politik yang hidup mewah melebihi pendapatan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: