Sabtu, 1 Ogos 2015

Isu GHB: Dulu gesa ahli setia, kini belot kepada PAS - sindir Azman Shapawi

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Dulu nama-nama besar dalam PAS sering memberi pandangan serta nasihat kepada akar umbi agar berpegang teguh dasar parti, kini bertukar senario apabila mereka pula mahu meninggalkan perjuangan Islam yang dilaungkan selama ini.
 
Malah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani menyifatkan pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak berpegang kepada janji untuk setia yang dilafazkan.
 
"Kita merasa sedikit terkilan dengan apa yang berlaku sebab kita anggap mereka ini sebagai saudara dan sahabat perjuangan kita yang begitu lama.
 
"Malah kita sebahagian besar pernah menjadi orang bawah kepada mereka yang kita sentiasa dengar pandangan, nasihat ataupun bimbingan daripada mereka satu masa dulu," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan perkembangan tersebut yang menyaksikan nama-nama besar PAS seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Datuk Dt Mujahid Yusof dan ramai lagi mahu meninggalkan parti Islam itu.
 
"Sedikit terkilan sebab mereka yang beri pandangan serta nasihat tapi tiba-tiba mereka sendiri mengambil sikap meninggalkan perjuangan yang dibawa PAS," katanya.
 
Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti mengumumkan akan menubuhkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.
 
Gerakan itu dipengerusikan Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden PAS manakala antara anggota jawatankuasa interimnya ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; dan bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin.
 
GHB yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat selepas DAP dan PAS memutuskan hubungan.
 
Tiada alasan untuk wujudkan GHB
 
Azman Shapawi menambah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus disokong dan akan menolak GHB.
 
"Sebab saya merasakan sampai hari ini saya tidak bertemu satu alasan boleh saya terima dari sudut agama sebab apa mereka keluar daripada PAS?
 
"Kadang-kadang alasan yang diberi saya rasa tidak boleh diterima akal kerana tidak bersetuju dengan presiden kerana kita nak menuju ke Putrajaya dan itu sahaja alasan yang kita terima tak lebih daripada itu," katanya.
 
Tegas beliau, tiada alasan kukuh diberikan untuk menubuhkan GHB dan menganggap GHB diwujudkan atas dasar kekecewaan pihak tertentu kerana tidak tewas dalam pemilihan jawatan pada Muktamar Tahunan PAS, Jun lalu.
 
"Saya menganggap orang yang lari datipada perjuangan PAS yang telah berbai'ah sebelum daripada ini selagi mana PAS tidak menyeleweng daripada agama, al-Quran dan hadis maka dia telah melanggar satu bai'ah.
 
"Sebab kita berada di atas landasan yang betul kemudian dia lari daripada landasan yang betul dan meninggalkan perjuangan Islam itu maka itu salah satu perkara yang dianggap melanggar bai'ah itu sendiri," katanya.
 
 

Tiada ulasan: