Khamis, 13 Ogos 2015

Hanya sempat hidup selama lapan hari'


'Hanya sempat hidup selama lapan hari'
Antara pengamal media yang menziarahi pusara bayi berkenaan. Gambar kecil: Suspek Ahmad Afifudin
 
 
JEMPOL - Hanya sempat hidup selama lapan hari, bayi lelaki kepada kanak-kanak berusia 11 tahun yang menjadi mangsa rogol disahkan meninggal dunia, awal pagi semalam.
 
Bayi yang dilahirkan cukup sifat pada 5 Ogos lalu, meninggal di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, kira-kira 4.40 pagi, dipercayai akibat inflamasi usus.
 
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bahau, Jalan Jelai - Bahau, di sini, sebelum solat Zohor, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, polis masih mengesan suspek yang merogol kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
 
Terdahulu, kanak-kanak terbabit bersalin di sebuah klinik swasta sekitar jam 10 pagi selepas mengadu sakit perut kepada ibunya.
 
"Kita mohon kerjasama orang ramai yang ada maklumat berkaitan suspek agar segera membuat laporan di balai polis berhampiran.
 
“Suspek sebelum ini ada rekod jenayah lampau bersangkut kes dadah dan mencederakan orang menggunakan senjata di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini, semalam.
 
Menurutnya, polis mencari Ahmad Afifudin Ismail, 30, merupakan pekerja buruh yang beralamat terakhir di Kampung Batu Bakar, Bahau, di sini, bagi membantu siasatan.
 
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk menemubual keluarga kanak-kanak terbabit semalam, gagal apabila mereka enggan ditemui media.
 
Beberapa pengamal media di negeri ini turut kelihatan menziarahi pusara bayi berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: