Sabtu, 8 Ogos 2015

Ganggu SPRM, Bank Negara punca ringgit lemah

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali meminta tiada pihak mengganggu tugas siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung dana RM2.6 bilion kerana ia memberi kesan buruk kepada sistem kewangan negara terutamanya melemahkan kadar mata wang.

Katanya, tidak boleh mana-mana pihak mengganggu perjalanan siasatan SPRM dan juga memberi tekanan kepada gabenor Bank Negara kerana  tindakan tersebut memberi kesan kepada ekonomi.

"Negara memerlukan kejuruteraan kewangan baharu yang stabil dan kuat  untuk memulihkan kemerosotan nilai ringgit bagi mengembalikan keyakinan orang awam, pihak swasta dan juga pelabur.

"Kita keyakinan rakyat  kian luntur  menyebabkan nilai ringgit jatuh, pelaburan luar negara (FDI) merosot begitu juga dengan kadar pengangguran dan ini akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi," katanya ketika ditemui di majlis perasmian ibu pejabat baharu Syarikat Kumpulan Naza TTDI, di sini, hari ini.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, oleh sebab itu beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan supaya siasatan SPRM tidak diganggu.

"SPRM selaku badan bebas perlu diberi ruang untuk menyiasat demi mencari keadilan dan kebenaran. Sekiranya anggota perkhidmatan awam, institusi seperti SPRM juga menjadi buruan bagaimana rakyat nak yakin?

"Tidak boleh mana-mana pihak mengganggu perjalanan siasatan SPRM begitu juga tekanan yang diberikan kepada Gabenor Bank Negara. Itu memberi kesan kepada ekonomi kerana tindakan dan ugutan terhadap pihak ini akan memberi kesan kepada sistem kewangan kita," katanya.

Menurut beliau, negara wajar menyelesaikan krisis kepimpinan dan pengurusan kewangan dengan formula agar keyakinan rakyat dan pelabur kembali seperti sedia kala.

Sementara itu, Azmin turut membidas kritikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta beliau tidak memberi sebarang komen dalam tugas SPRM dan polis.

"Suruh beliau (Ketua Polis Negara) jawab pada rakyat, rakyat memerlukan penjelasan suruh beliau.

"Dana-dana ini harus diuruskan dengan baik dan bertanggungjawab secara telus dan terbuka bukan sorok, ini perlu dijelaskan kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Khalid dalam laman Twitternya meminta Azmin diam sekiranya tidak tahu hujung pangkal tugas polis dan SPRM lakukan agar tidak mengganggu tugas mereka.


Tiada ulasan: