SHAH ALAM - Serpihan yang ditemui di Maldives, dipercayai sebahagian
daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang,
sedang menjalani proses sewajarnya sebelum dibawa pulang ke Malaysia
untuk dianalisis oleh pakar-pakar antarabangsa, kata Menteri
Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, pada masa ini, pasukan penyiasat Malaysia yang diketuai
oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin
Abdul Rahman berada di Maldives untuk memeriksa serpihan itu.
"Jika perlu, kami akan membawa serpihan itu untuk pengesahan selanjutnya.
"Serpihan itu sedang menjalani proses sewajarnya untuk membolehkannya
dikeluarkan dan dibawa pulang ke Malaysia untuk proses pengecaman dan
pengesahan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan
Pusat Nissan 4S di Glenmarie di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, adalah 'terlalu awal' untuk membuat spekulasi
pada masa ini sama ada serpihan itu mempunyai kaitan dengan pesawat MAS
yang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pada 6 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
bahawa serpihan dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion
milik Perancis ialah daripada pesawat MH370.
Tiong Lai berkata, Malaysia juga menghantar satu lagi pasukan ke Pulau
Reunion untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan mencari
lebih banyak serpihan.
"Kami berharap dapat menemui lebih banyak serpihan di pulau itu. Kami
sedang mengumpulkan lebih banyak bukti dan serpihan di negara-negara
kepulauan yang berhampiran," katanya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, masih terlalu awal untuk membuat
spekulasi sama ada sebahagian daripada serpihan yang ditemui di tapak
nahas MAS Penerbangan MH17 di timur Ukraine kemungkinan cebisan sistem
peluru berpandu buatan Rusia.
Beliau meminta semua pihak menunggu dengan sabar kerana laporan
muktamad yang terperinci akan dikeluarkan pada Oktober ini untuk
mengenal pasti punca nahas itu.
Pendakwa raya dari Belanda yang mengetuai siasatan antarabangsa
dilaporkan berkata sesetengah daripada serpihan yang ditemui di tapak
nahas pesawat MAS MH17 di timur Ukraine mungkin cebisan daripada sistem
peluru berpandu buatan Rusia.
"Kami mempunyai tujuh cebisan, tujuh cebisan yang kami kenal pasti bukan sebahagian daripada pesawat, dan siasatan lanjut menghasilkan kesimpulan bahawa ia mungkin sebahagian daripada sistem peluru berpandu dan sistem peluru berpandu BUK," ketua penyiasat Fred Westerbeke dilaporkan memberitahu Reuters.
Pesawat Boeing 777 MAS itu dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari
Amsterdam apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014
dan mengorbankan kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat itu
termasuk 43 warga Malaysia. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan