KUALA LUMPUR, Dua ahli PAS akan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin parti itu, kerana terbabit dalam aktiviti berkaitan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah yang dipetik The Star Online berkata, mereka adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

“Kami ada semua rakaman semua kenyataan, aktiviti dan tindakan mereka bersama GHB,” katanya kepada portal berita itu, hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS Kelantan telah melaporkan penemuan mereka mengenai aktiviti-aktiviti GHB.

Sebelum ini, PAS Kuala Terengganu dilapor memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pengumuman itu dibuat, kerana PAS Terengganu mahu menyekat pengaruh GHB ke negeri itu.

Dalam surat yang diedarkan kepada ahli PAS menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama atau memberi bantuan kepada Raja Kamarul Bahrin.