MALAYSIAKINI
Kegiatan licik tidak bermoral seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun
yang merakam bawah skirt seorang wanita di kompleks membeli belah Mid
Valley, terbongkar apabila tindakannya disedari teman lelaki mangsa.
Aktiviti suspek membuat rakaman ketika mangsa menaiki eskalator dikesan
berikutan penemuan beberapa rakaman video daripada telefon bimbit suspek
yang dirampas polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata dalam
kejadian pukul 6.10 petang kelmarin, mangsa yang merupakan seorang
pelajar, sedang menaiki tangga eksalator ke tingkat dua kompleks membeli
belah itu bersama teman lelakinya.
"Teman lelakinya naik dahulu tangga eskalator kemudian mendapati suspek
berada di belakang mangsa. Kemudian teman lelaki mangsa melihat suspek
memegang telefon bimbit di celah kangkang mangsa.
"Bagaimanapun, suspek tidak menyedari tingkah lakunya diperhatikan teman
lelaki mangsa sebelum dia disergah atas kesalahannya itu," katanya
ketika dihubungi, semalam.
Sharul Othman berkata dua pengawal keselamatan di komplek beli belah itu
bertindak menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Polis merampas sebuah telefon bimbit Samsung berwarna hitam yang
mengandungi video mangsa yang dirakam suspek bagi membantu siasatan.
Suspek ditahan menurut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan direman sehingga Selasa depan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan