Sabtu, 8 Ogos 2015

Britain mahu bawa pelabur ke Selangor

SINAR HARIAN



Azmin Ali
Azmin Ali


KUALA LUMPUR - Britain menyatakan kesediaan membawa lebih ramai pelabur ke Selangor dalam usaha meningkat ekonomi di negeri itu, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
  
Beliau berkata, perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Britain David Cameron dalam pertemuan dengannya hujung bulan lepas ketika Cameron melakukan lawatan kerja ke Malaysia.
  
"Selangor memberi jaminan bahawa politik kita stabil, infrastruktur kita baik dan sempurna dan kita mempunyai struktur tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi pada hari ini," katanya selepas menghadiri jamuan hari raya Aidilfitri di Taman Ekstrem Park, Kampung Melayu Wira Damai, di sini hari ini.
  
Dalam pada itu, Azmin berkata, Selangor kini merekodkan rizab kewangan tertinggi iaitu sebanyak RM3.6 bilion.
  
Katanya hasil yang dikumpul itu akan digunakan untuk projek pembangunan di negeri Selangor termasuk pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat dalam tempoh tiga tahun. - Bernama


Tiada ulasan: