Selasa, 11 Ogos 2015

Biarkan SPRM bebas siasat skandal 1MDB

Oleh: HAFIZAN TAIB


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya tidak diganggu polis dalam siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini kerana campurtangan pihak tertentu dalam siasatan berprofil tinggi membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pasti membuahkan keputusan tidak telus dan menjejaskan integriti SPRM sendiri.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata SPRM seharusnya diberi ruang secukupnya dalam perkara itu kerana kes itu membabitkan satu jumlah wang besar, RM 2.6 bilion, yang menjadi pertikaian rakyat masa kini.

Manivanan Gowin 4a“Campurtangan pihak lain seperti polis menjejaskan siasatan dan kita melihat tindakan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar pihak berkuasa berkenaan.

“Tindakan dibuat itu dipercayai mahu melindungi pihak tertentu selain pertukaran kaki tangan SPRM secara serta merta yang menimbulkan tanda tanya,” katanya kepada Selangor kini di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan SPRM menjalankan tanggungjawab diamanahkan rakyat dan kerajaan perlu menghormatinya tanpa mencampuradukkan perkara berkaitan politik.

Katanya, pembatalan pertukaran dua pengarah SPRM iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri adalah tindakan wajar dan tepat.

“Memang sepatutnya mereka dikembalikan ke SPRM supaya boleh menjalankan amanah dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka,” katanya.

SPRM kini menjalankan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.EZY


Tiada ulasan: