Jumaat, 14 Ogos 2015

BERSIH serah notis pemberitahuan

MALAYSIAKINI



 
 
Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah hari ini menyerahkan notis pemberitahuan perhimpunan aman yang dijadual dianjurkan NGO itu akhir bulan ini.
 
Maria hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada jam 5.15 petang tadi bersama peguamnya untuk mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah.

Maria bagaimanapun mendakwa polis enggan menerimanya sehinggalah beberapa dokumen berkaitan dilengkapkan.
 
“Saya telah menghantar surat notis kepada polis hari ini tetapi Tuan Zainol tidak mahu menerimanya, sehingga saya melengkapkan permohonan itu dengan mengisi beberapa borang dan dokumen `review’ untuk mendapat kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai polis berkenaan.
 
Borang Notis Pemberitahuan diperlukan diisi di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
 
BERSIH sebelum ini ‎menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam isu keselamatan di Pesta Demokrasi BERSIH 4 yang dijadual pada 29 sehingga 30 Ogos ini.
 
Maria juga turut memberi jaminan berhubung aspek keselamatan rakyat dan lalu lintas di ibu kota akan terkawal pada hari berkenaan.
 
Selain Kuala Lumpur, BERSIH 4 juga dijadual diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu.
 
Khalid sebelum ini memberi peringatan kepada penganjur dan peserta perhimpunan BERSIH 4 agar mengikut saluran yang betul untuk menganjurkannya.
 
Khalid berkata, kegagalan untuk berbuat demikian membolehkan pihak polis mengambil tindakan ke atas mereka kerana melanggar undang-undang negara.
 
 

Tiada ulasan: