Ahad, 23 Ogos 2015

Bekas bos SB dakwa saksi SRC disorok

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


DAMANSARA - Salah seorang saksi yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dipercayai disembunyikan ke beberapa negara.

Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman (SB), Datuk Abdul Hamid Bador mendakwa, individu berkenaan melarikan diri ke Indonesia terlebih dahulu sebelum ke Thailand.

"Kini dipercayai berada di New Zealand.

Ada usaha (supaya) saksi menyembunyikan diri dengan bantuan kuasa-kuasa tertentu," katanya ketika ditemui media hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM panggil tiga individu termasuk Jho Low]

Semalam, SPRM mengkehendaki tiga individu iaitu, Pengarah Urusan dan Pengarah SRC International, masing-masing ialah Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin serta ahli perniagaan Low Taek Jho atau 'Jho Low' bagi membantu siasatan berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd yang bersangkut dengan syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti yang digunakan mereka ini hari ini.

"Tunggu...jika perlu saya dedahkan lagi," katanya.

Mengulas mengenai syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau berkata, SB juga ada melakukan  siasatan berkenaan perjalanan syarikat itu.

"Siasatan SB bukan untuk mendakwa, tetapi hanyalah sebagai input dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk meneruskan siasatan," katanya.

Abdul Hamid  yang bertugas dengan Polis Diraja Malaysia hampir 37 tahun itu telah ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 17 Ogos lalu dan perlu melaporkan diri dalam tempoh sebulan.


Tiada ulasan: