Rabu, 26 Ogos 2015

'Baju merah' berlatih guna pedang, parang

MALAYSIAKINI

 


Kumpulan anti-BERSIH mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan senjata parang dan pedang dalam latihan pada malam ini untuk menghadapi kumpulan peserta himpunan 29 dan 30 Ogos di Kuala Lumpur.

Jurucakapnya, Jamal Yunos dilaporkan sebagai berkata, latihan itu diadakan bagi tujuan “mempertahankan diri” semasa perhimpunan berkenaan.

"Ada latihan tertutup untuk anggota kita pada malam ini (Rabu) dan mereka akan menggunakan parang dan pedang untuk mempertahankan diri,” katanya seperti dipetik dalam laporan The Star Online.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu berkata, mereka akan mengerahkan 30,000 orang dari 200 NGO untuk menghadapi peserta himpunan BERSIH 4.

“Tujuan mereka berhimpun adalah untuk menekan (BERSIH) agar membatalkan perhimpunan kerana ia tidak membaw kebaikan kepada negara dan rakyat.

“Kami akan membatalkan perhimpunan kami jika (BERSIH) membatalkan perhimpunan mereka,” katanya lagi yang mencadangkan agar himpunan tersebut boleh diadakan di stadium.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kumpulan berbaju merah itu tidak akan memulakan tindakan ganas.

"Kami tidak akan memulakan tindakan ganas melainkan jika kami diserang oleh pasukan kuning (BERSIH).

"(Jika berlaku serangan), orang kami yang berbaju merah akan dapat mempertahankan diri mereka," katanya yang mendakwa, perhimpunan BERSIH sebelum ini merupakan perhimpunan ganas.

Kumpulan berkenaan mengumumkan untuk berhimpun di pusat membeli-belah Low Yat di Bukit Bintang pada hari tersebut dan berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Pudu.

Kumpulan berkenaan setakat ini telahpun menerima sokongan secara tidak langsung daripada menteri Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad berkata kumpulan berbaju merah itu merupakan reaksi balas kepada gerakan BERSIH yang “berhasrat untuk melanggar peraturan”.

Kumpulan anti-BERSIH itu semalam berhimpun sekali lagi di ibu kota sambil mempamerkan gaya berlawan dan juga gimik menanduk atap genting.

Video yang dimuatkan di Internet turut menunjukkan anggota kumpulan berbaju merah itu mempamerkan aksi akrobatik dan juga bunga silat.

Gambar yang dirakam sekitar pertunjukan itu juga menunjukkan aksi para peserta merangkak dan berguling-guling.


Tiada ulasan: