MALAYSIAKINI
Seperti direnjat elektrik, seluruh peminat kartun dan komik tanah air terkejut dengan penutupan penerbitan majalah Ujang dan APO?.
Tanggal 6 Ogos 2015, MOY Publications menghentikan penerbitan dua
majalah gergasi yang pernah menjadi jaguh pasaran tempatan sekaligus
bermakna Ujang dan APO? turut menyertai arwah-arwah majalah kartun terdahulu.
Ujang dan APO? dimakamkan bersama Gelihati, Mat Jenin, Batu Api serta berpuluh majalah kartun tanahair yang pernah mewarnai industri kartun dan komik tanahair.
Sejarah ringkas
Majalah Ujang muncul di pasaran pada tahun 1993 di bawah
Kharisma Publications. Dengan cogankata Majalah Lawak Antarabangsa,
kartunis Ujang (Ibrahim Anon) yang telah mencipta kegemilangan di
majalah Gila-Gila mengorak langkah menerbitkan majalah Ujang bersama kartunis popular seperti Gayour, Nik dan Aie.
Beberapa kartunis yang sedang mencipta nama dididik, diberi nama baru
yang segar dan subur seperti Bijan, Sukun, Jering, Ubi, Duku, Halia dan
Sireh (sekadar menyebut beberapa nama) juga penulis Azzam Supardi
membentuk sebuah pasukan produksi yang mantap sehingga edaran setiap
keluaran mencecah lebih 200,000 naskhah.
Maskot Din Beramboi menjadi fenomena sehingga direbut beberapa pihak.
Peminat-peminat tidak sabar menanti kemunculan setiap isu untuk membaca
kisah 'Abe', 'Bersama Selamanya', 'Aku Hidup Dalam Blues', 'Budak
Hostel' dan lain-lain.
Watak kartun lerang (strip cartoon) seperti Murahguru Tandoori Payat,
Pak Andak dan Angah, Bas Mini 222 mencuit hati. Majalah kartun sedia ada
sedikit tergugat dan perlahan-lahan terikut juga corak persembahan Ujang.
Apabila kartunis Ujang (Ibrahim Anon) meninggalkan majalah tersebut, MOY Publications mengambilalih penerbitan majalah Ujang dan mengawal hakcipta dan harta intelek sehingga kartunis Ujang sendiri tidak dibenarkan berkarya menggunakan nama samaran Ujang.
Meskipun diboikot sebahagian besar peminat tegar kartunis Ujang (Ibrahim Anon), majalah Ujang di bawah MOY Publications terus menjuarai pasaran, melonjak dengan gabungan barisan kartunis asal dan muka baru.
Majalah APO? muncul empat tahun selepas majalah Ujang.
Juga diterbitkan oleh MOY Publications dengan kartunis Petai teraju
utamanya bersama kartunis Sireh, Rambai, Ah Liow dan Blue (sekadar
menyebut beberapa nama).
APO? bermula dengan konsep gabungan komik lucu dan serius.
Pelukis komik tanahair seperti Zoy, Fazrul Arhan dan Nizam Bachok turut
memeriahkan keluaran awalnya. Edisi pengenalan APO? dipasarkan dengan harga murah gila, RM1 sahaja senaskhah.
Atas faktor keuntungan barangkali, konsep APO? kemudiannya ditukar menjadi seratus peratus humor atau menjadi majalah Ujang
nombor dua. Keduanya bersaing sesama sendiri. Banyak juga majalah baru
muncul dengan konsep seperti mereka tetapi gagal bertahan. Ujang dan APO? mengungguli pasaran selama dua puluh tahun.
Zaman kejatuhan
Entah di mana silapnya, majalah kartun bercorak ke-Malaysiaan
perlahan-lahan tewas kepada komik manga terjemahan dari Jepun yang mula
menyerang pasaran. Syarikat penerbitan majalah baru juga cenderung
menerbitkan majalah kartun berbahasa Melayu berkonsepkan manga.
Penerbitan manga umpama virus yang menyerang antibodi majalah kartun beridentitikan kebangsaan. Ujang dan APO?
juga dijangkiti virus ini sehingga terpaksa akur dan mengikut sedikit
rentak mereka. Kartun online pula melancarkan serangan ke atas generasi
baru.
Dengan menekan papan kekunci dan melayari internet, anak-anak tidak
perlu lagi keluar mencari majalah di kedai. Baca sahaja di skrin
komputer atau telefon pintar. Kemunculan permainan video seterusnya
menjadi pelengkap kepada siri pembunuhan ini.
Cuba letakkan telefon pintar dan majalah kartun di atas meja, yang mana
akan dipilih oleh anak kita? Majalah kertas tergugat. Kartunis yang
berkarya dengan konsep keMalaysiaan tersudut apabila kisah bagaimana
membuat gasing, mandi sungai, pergi mengaji tidak lagi menangkap
imaginasi generasi hari ini. Jualan semakin menyusut.
Keruh di hulu, maka keruh di hilir
Seperti pepatah di atas, itulah yang diakui oleh orang kuat MOY
Publications. Ekonomi yang tidak stabil, nilai matawang jatuh dan
Government Service Tax (GST) menyebabkan kos operasi meningkat. Harga
kertas naik, elektrik dan petrol mencanak sehingga mempengaruhi
produksi.
Justeru, setelah segala kemunasabahan dihitung, bebanan yang tinggi dan
tidak berbaloi, MOY Publications terpaksa akur dan menutup penerbitan
majalah Ujang dan APO?. Untuk rekod, MOY Publications juga pernah menerbitkan majalah Era@MOY, Blues Selamanya dan sebuah majalah kartun bahasa Cina, Sot Sot tetapi tidak bertahan lama.
Meskipun majalah ditutup, MOY Publications khabarnya sedang berusaha
membawa kartun dan kartunisnya berkarya di alam maya. Erti kata lain
untuk menyedapkan hati ialah dunia kartun dan komik masih belum mati,
cuma berpindah dunia dari alam kertas ke alam skrin.
Tetapi bagi peminat, kematian majalah adalah kematian industri. Seperti
siri Battle Royal dalam sukan gusti, kesemua majalah telah tersingkir
tewas dan hari ini cuma tinggal majalah Gila-Gila satu-satunya majalah beridentitikan kebangsaan, tanpa pengaruh manga, yang masih hidup. Sungguhpun edarannya kecil tetapi Gila-Gila terus bertahan untuk tahun ketiga puluh tujuh.
Berita terkini dari teman-teman, atas nama solidariti dan tidak ingin
melihat khazanah kartun terkubur, kartunis Ujang (Ibrahim Anon) dan
beberapa kartunis kembali berjuang membantu Gila-Gila meneruskan nafas.
Apakah Gila-Gila mampu mengharungi arus deras masa kini? Apakah
nasib kartunis hanya duduk melukis karikatur di sudut pusat
membeli-belah dan tidak berpeluang lagi bangun gagah mengangkat semula
martabat kartun Malaysia?
Akan wujudkah kesedaran masyarakat terhadap hidup mati salah satu cabang
seni lukis negara kita ini? Wallahua’lam. Buat masa ini, al-Fatihah
untuk APO? dan Ujang.
RONASINA seorang kartunis dan penerbit. Tulisan ini pertama kali disiarkan di laman web jalantelawi.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan