MALAYSIAKINI
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata Parti Pesaka
Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendapat lima daripada 11 kerusi baru
negeri bagi pilihan raya negeri akan datang kerana parti itu mampu
memenangi semua kerusi itu.
"Kami sekarang mempunyai 35 kerusi yang kami tidak pernah gagal
menyumbang kepada Barisan Nasional (BN). Saya pasti akan meneruskan
tradisi ini," katanya ketika berucap dalam perjumpaan Aidilfitri anjuran
PBB zon Kuching malam tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara tetamu yang hadir di majlis itu.
Adenan, yang juga presiden PBB, berkata BN negeri itu sudah bersedia
menghadapi pilihan raya negeri yang boleh dipanggil pada bila-bila masa
dalam tempoh 10 bulan dari sekarang,.
"Untuk sekarang, marilah kita memberikan tentangan sengit kepada
pembangkang dan melemahkan mereka. Kemudian, barulah kita memanggil
pilihan raya," katanya sambil berjenaka.
Untuk rekod, Sarawak sekarang mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN). Mahkamah Rayuan baru-baru mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi
berhubung dengan persempadanan kawasan pilihan raya negeri dan
memutuskan bahawa 11 kerusi baru yang dicadangkan boleh diguna dalam
pilihan raya negeri akan datang.
Menurut Adenan, PBB akan menambah kerusinya daripada 35 sekarang kepada 40 kerusi daripada 82 kerusi (71 + 11).
Mandat penuh DUN Sarawak akan berakhir pada Jun 2016.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib atas
kepercayaannya melantik lapan orang wakil dari Sarawak menjadi menteri
penuh dalam kabinet beliau.
"Ini belum pernah berlaku dalam sejarah negara dan satu penghormatan kepada negeri ini.
"Saya dengan ini menyeru kepada rakyat Sarawak supaya menolak calon
pembangkang dalam pilihan raya negeri akan datang untuk membolehkan kita
mengambil bahagian dan mengukuhkan pentadbiran negara," kata Adenan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan