MALAYSIAKINI
Gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said
supaya tapisan filem dilonggarkan mengundang reaksi tidak senang NGO
Islam.
Beberapa kumpulan hari ini tampil menyatakan bantahan mereka, termasuk
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
PUM membangkitkan soal garis panduan hiburan dalam Islam yang
diperakukan oleh muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Februari
lalu supaya tiada “nilai sejagat” dan ajaran agama dilanggar.
“Kami meminta jasa baik YB Datuk Seri memartabatkan perfileman negara
tanpa menggadai prinsip Islam dan sewajarnya memartabatkan perfileman
tersebut berteraskan maqasid (tujuan) syariah,” kata setiausaha agungnya
Dr Mohd Roslam Mohd Nor.
Dalam kenyataannya hari ini, Roslam berkata sebarang usaha ke arah
penggubalan polisi perfileman dan hiburan haruslah dilakukan dengan
berhemah dan dengan penglibatan pihak yang bertanggungjawab.
Malah, Dr Mohd Roslan berkata PUM sebagai sebuah NGO Islam bersedia memberikan pandangan sekiranya diperlukan.
Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga pengerusi Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional (Finas) sebelum ini menegur Lembaga Penapisan Filem (LPF)
agar tidak berfikiran sempit.
Azalina berkata, isu seperti adegan cinta berpegangan tangan atau
berpelukan tidak perlu diperbesar memandangkan ia sekadar lakonan yang
tidak mengundang maksiat terhadap penonton.
IKRAM: Tak wajar bagi menteri Islam
Sementara itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) pula menyifatkan
kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan oleh menteri yang baru dilantik
menyertai kabinet Selasa lepas.
"Sekiranya laporan ini benar, adalah tidak wajar bagi seorang menteri
beragama Islam yang telah diberikan amanah kepimpinan dan bakal menjadi
teladan kepada rakyat di negara ini untuk membuat komen sedemikian,"
katanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Umat IKRAM Abdul Aziz Abd
Jalal.
IKRAM juga berharap beberapa peraturan yang telah diperkenalkan oleh
LPF, merujuk kepada panduan penapisan terhadap elemen seks, lucah dan
sumbang perlu dipertahan, malah ditambah baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan