SHAH ALAM - Video berdurasi 41 saat dengan tajuk tertulis ‘nasi impit yang diperbuat dari beras palsu’ mula tersebar di laman sosial dipercayai sejak 12 Jun lalu. Berdasarkan video tersebut, seorang pelanggan menunjukkan nasi impit yang hancur dan berair   selepas digenggam.

Pelanggan tersebut kemudiannya enggan makan nasi impit yang dihidang bersama sate yang telah dipesan.

Bagaimanapun terdapat komen yang ditulis orang ramai di laman sosial Facebook berkenaan mengatakan nasi impit tersebut telah disejuk bekukan.

Ada yang berpendapat, nasi impit itu hancur kerana ia disejuk bekukan dalam tempoh lama bagi mengelak basi dan kemudiannya dipanaskan semula, bukan kerana dimasak menggunakan beras palsu.

Timbul keraguan dan persoalan mengenai video terbabit yang tidak langsung menyentuh mengenai beras tiruan yang dipercayai sengaja diadakan untuk menakutkan orang ramai.

Ini kerana hanya tangan yang memicit nasi impit tanpa wajah individu terbabit dan dikukuhkan dengan kapsyen yang mendakwa nasi impit mengandungi beras tiruan.

Tinjauan Sinar Harian  di Bangi mendapati restoran sate yang dimaksudkan tidak wujud sekaligus menafikan kesahihan  video berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri  menegaskan Malaysia tidak mengimport beras dari China  selain  turut menafikan kewujudan beras tiruan di negara ini.