Jumaat, 12 Jun 2015

Usul bubar DUN Selangor tak berbangkit, kata Azmin

 Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Azmin Ali menolak spekulasi bahawa akan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas PAS membawa usul memutuskan hubungan dengan DAP pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-61 baru-baru ini.
 
"Itu bukan isu," katanya ringkas kepada pemberita ketika diminta mengulas bagaimana PKR mahu meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ekoran keengganan PAS dan DAP meneruskan kerjasama mereka.
 
Sebelum ini Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh berfungsi sekiranya ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) PAS enggan bekerjasama dengan exco parti itu.
 
Katanya mustahil untuk meneruskan kerja seperti biasa di negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) susulan usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
 
Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahri Mamat hari ini juga dilaporkan berkata, DAP perlu membubarkan DUN Pulau Pinang sekiranya berhasrat memecat pemimpin PAS yang mempunyai jawatan dalam kerajaan dan agensi negeri itu.
 
Katanya, peletakan jawatan PAS di Pulau Pinang tidak memberi kesan yang besar sekiranya parti itu mengambil keputusan muktamad memutuskan hubungan dengan DAP.
 
Dewan Ulama PAS sebelum ini sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.
 
Setakat ini Majlis Syura Ulama belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan hubungan kedua-kedua parti itu dan dijangka majlis tersebut akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.
 
 

Tiada ulasan: