Sabtu, 13 Jun 2015

TV3 hilang akal-Shahbudin

 
Alasan yang diberi pihak TV3 langsung tidak boleh diterima sedangkan banyak lagi masalah rakyat yang lebih kritikal perlu diketengahkan selain isu kereta Proton.


proton tv3



PETALING JAYA: Penafian Editor Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, bahawa TV3 hanya memaparkan masalah rakyat berhubung teksi yang membabitkan kereta Proton dianggap tidak masuk akal.

Pelbagai persoalan dibangkitkan terhadap laporan tiga malam berturut-turut yang menyiarkan isu yang sama wal hal banyak lagi masalah besar yang membebankan rakyat.

Mengulas mengenainya, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin mendakwa ia sebahagian daripada agenda untuk menghentam legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hujah yang diberikan oleh Mohd Ashraf Abdullah, Editor Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, bahawa laporan itu hanya usaha TV3 mengenengahkan masalah rakyat dan pemandu teksi, benar-benar tidak dapat diterima akal, kecuali bagi yang kurang atau sudah hilang akalnya,” dakwa Shabudin.

Dalam tulisan terbarunya di shahbudindotcom.blogspot.com terus menempelak kenyataan Ashraf selain mempersoalkan maksud “masalah rakyat”.

Katanya, terdapat isu lain yang lebih kronik berbanding dengan masalah kereta teksi Proton.

“Jika mahu diketengahkan pelbagai masalah rakyat, di Parlimen Pekan yang diwakili Najib pun sebenarnya berlambak isu yang lebih menarik dan boleh meningkatkan rating penonton televisyen itu.

“Menjadi persoalan juga, apakah TV3 akan turut memainkan isu berkaitan kualiti Proton ini jika tidak berlaku kemelut politik antara Tun Mahathir dengan Najib?” tulis Shahbudin.

Tambahnya, ramai yang hairan kenapa isu tersebut dimainkan ketika ini dan ia seolah-olah bertujuan mengajak rakyat tidak menghargai keluaran serta kebanggaan negara sendiri.

Oleh kerana dimainkan selama tiga malam berturut-turut, ia segera disedari sebagai percubaan stesen televisyen itu menghentam legasi Dr Mahathir yang bertanggungjawab mewujudkan industri kereta nasional itu.

Lebih-lebih lagi, beliau pada ketika ini adalah Pengerusi Proton.

“Dengan menyerang Proton juga, Najib tidak ubah seperti kanak-kanak yang kalah berlawan dengan orang lebih kuat daripadanya, lalu meminta bantuan pihak lain merosakkan permainan atau harta benda mereka yang tidak mampu dikalahkannya itu.

“Ramai juga penuh yakin, selepas Proton, satu demi satu legasi Tun Mahathir seperti KLCC, Perwaja, Litar Formula 1 yang dipengerusikan oleh anaknya, Mokhzani Mahathir dan lain-lainnya bakal menjadi sasaran TV3 pula,” ramal Shahbudin.

Tiada ulasan: