KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menyertai badan bukan kerajaan atau NGO lebih cenderung memberi bantuan seperti wang ringgit dan menjadi sukarelawan di luar negara berbanding menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negara sendiri.

Dari aspek positif, perkara ini amat baik kerana kesedaran masyarakat untuk melakukan aktiviti sukarelawan dilihat semakin meningkat.

Namun trend yang dilihat ini mengambarkan pepatah Melayu iaitu ‘Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ menjadi kenyataan.

Sukarelawan dari NGO OurTouch, Azmi Rasa berpendapat isu golongan yang kurang bernasib baik seperti gelandangan masih belum selesai buktinya di Amerika Syarikat dan Jepun bilangan golongan yang terlantar dan tidak berumah masih tinggi.

“Bantuan yang dihulurkan oleh NGO di Malaysia sama hebatnya sama ada ke luar mahupun ke dalam negara, cuma kadang kala perhatian dan publisiti yang diberi menyebabkan sesuatu program pemberian dana ke luar itu kelihatan lebih besar.

“Walhal sebenarnya terdapat banyak NGO yang tidak pernah berhenti mencari dan melaksana program membantu golongan yang memerlukan itu tanpa mengira musim,” katanya kepada The Rakyat Post.

Azmi yang kini sedang menjalankan misi bantuan kemanusiaan di kem pelarian Roghinya di Aceh, Indonesia menjelaskan usaha yang dilakukan NGO di Malaysia di dalam negara tetap berjalan cuma kurang diberi publisiti dan hebahan secara meluas di media.

“Inilah nasib NGO kecil seperti OurTouch, kami berusaha bagi mengumpulkan sumbangan sendiri tanpa ada bantuan syarikat korporat mahupun penajaan, sebenarnya kesedaran masyarakat Malaysia dalam menghulurkan bantuan setiap kali misi OurTouch dilancarkan amat menggalakkan.
Kanak-kanak pelarian Rohingya. - Foto NGO OurTouch
Kanak-kanak pelarian Rohingya. – Foto NGO OurTouch
“Kami bukan NGO besar yang mempunyai nama dan dikenali, namun usaha kecil kami pada setiap minggu melalui program gabungan dengan NGO kebajikan lain mampu mengumpulkan sejumlah sumbangan untuk diberikan kepada golongan tersebut di Malaysia mahupun untuk misi Roghinya seperti ini,” katanya.

Azmi dan sembilan ahli OurTouch atau juga dikenali sebagai Persatuan Sentuhan Kembara Malaysia berjaya mengumpulkan sumbangan kewangan yang berjumlah RM15 ribu untuk projek Rohingya di Aceh.

Bagi Presiden OurTouch, Raja Nazilawati Raja Zainal, isu NGO Malaysia lebih banyak menghulurkan bantuan keluar negara berbanding di dalam Malaysia bukan menjadi soal perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ialah kesedaran rakyat Malaysia semakin meningkat menyertai misi sukarelawan dan bantuan kemanusiaan.

“Peranan media amat diperlukan dalam hal ini kerana menerusi media sesebuah NGO itu akan diketahui masyarakat, contohnya dari segi saluran bantuan kepada mereka yang memerlukan, rakyat dapat melihat sendiri ke manakah bantuan diberikan dan adakah benar-benar diterima oleh golongan yang memerlukan itu,” katanya.

Lawrence Emrys Robert Abus, seorang sukarelawan dari pertubuhan NGO Region of Love (ROL) berkata, menyalurkan bantuan ke negara luar adalah sangat perlu bagi menunjukan keprihatinan negara kita mengenai isu-isu dan permasalahan antarabangsa.

“Perkara ini bagi saya masih seimbang, melihat situasi di Malaysia ramai pihak yang cuba membantu terutamanya badan-badan NGO dengan pelbagai inisiatif.

“Cuma apabila ia belaku di dalam negara liputan oleh media tidak sebesar dengan apa yang kita buat untuk membantu pihak negara luar,” katanya.

Fungsi NGO di negara ini sememangnya tidak boleh dipertikai kerana merujuk kepada rekod Pendaftar Pertubuhan (ROS), sehingga tahun 2013 terdapat 115,537 pertubuhan berdaftar di Malaysia iaitu 45,802 pertubuhan induk dan 69,735 pertubuhan yang mempunyai cawangan.