Ahad, 21 Jun 2015

Tidak jual makanan pada yang ponteng puasa

THE RAKYAT POST


beli makan ramadan
Warga kota yang tidak sempat memasak mempunyai pilihan yang banyak untuk juadah berbuka puasa. - Foto TRP/Kenneth Wan Kah Hoong



KUALA LUMPUR:  Sudah menjadi kebiasaan apabila tiba bulan Ramadan, peniaga makanan akan membuka restoran atau gerai sedikit lewat dari biasa bagi memberi peluang umat Islam membeli juadah untuk berbuka puasa.


Malah ada peniaga makanan yang membuka restoran dan gerai sehingga waktu Imsak untuk pelanggan menikmati juadah bersahur terutama kepada mereka yang masih bujang atau belajar.

Tinjauan The Rakyat Post di sekitar Kampung Baru menunjukan banyak gerai-gerai makan dibuka seawal jam 3 petang bagi pengunjung yang ingin membeli juadah qatau berbuka puasa di situ.

Waktu beroperasi yang tersendiri di bulan Ramadan ini memberi peluang kepada warga kota yang sibuk, untuk membeli juadah berbuka puasa atau berbuka di luar bersama keluarga dan sahabat.

Walaupun ada restoran atau gerai yang beroperasi agak awal, kebanyakan pemiliknya berhati-hati dan tidak menjual makanan kepada umat Islam yang ‘ponteng’ berpuasa.

Menurut Hafiza Ahmad, pemilik kedai makan “Dapur Jaja”, beliau memulakan perniagaan pada jam 3 petang sehingga waktu berbuka puasa dan juga menyediakan juadah untuk pelanggan bersahur.

“Kami menyediakan lauk pauk seperti nasi dagang, nasi kerabu dan macam-macam lagi. Bagi bulan puasa kami membuka perniagaan sehingga waktu sahur.

“Selama berniaga, banyak pengalaman seperti orang Islam datang untuk membeli makanan sebelum waktu berbuka tapi saya tidak sesekali menjual kepada mereka,” kata beliau ketika ditemubual.
beli makan ramadan2
“Selama berniaga, banyak pengalaman seperti orang Islam datang untuk membeli makanan sebelum waktu berbuka tapi saya tidak sesekali menjual kepada mereka,” kata Hafiza – Foto TRP/Kenneth Wan Kah Hoong
Jelasnya lagi, di sekitar tempat perniagaan beliau tidak terdapat sebarang pantauan yang dibuat oleh pihak penguatkuasaan. Disebabkan itu ada di antara mereka membuka perniagaan lebih awal dari yang sepatutnya.

Namun, sebagai orang Islam Hafiza berkata, walaupun mereka beroperasi agak awal, mereka berhati-hati untuk tidak menjual makanan kepada orang Islam lain yang sengaja tidak berpuasa kerana tidak mahu menanggung dosa.

“Yang penting, kami menyediakan lauk segar kepada pelanggan dan bukan yang dimasak pada malam sebelumnya,” katanya.

Bagi pengurus restoran Adamson, Mohd Husin Mat Din berkata, sepanjang bulan Ramdan mereka mula membuka perniagaan pada waktu tengah hari tetapi apabila dekat dengan waktu berbuka, hanya pelanggan Islam dibenarkan makan.

“Kami benarkan pelanggan bukan Islam makan sebelum waktu berbuka tetapi apabila tiba waktu berbuka kami mahu menyediakan tempat yang cukup untuk pelanggan Islam untuk menikmati buffet berbuka puasa yang disediakan.

“Hanya selepas waktu Maghrib barulah pelanggan bukan Islam akan datang semula makan di sini,” katanya.

Husin berkata, buat masa ini mereka mengamalkan polisi membenarkan orang bukan Islam makan di restoran mereka di waktu siang.

“Kita hidup di negara berbilang bangsa dan agama, maka kami benarkan yang bukan Islam datang makan di restoran kami dan pastikan kami tidak menjual makanan kepada orang Islam di waktu siang dan hanya ketika hampir waktu berbuka sahaja,” katanya kepada The Rakyat Post.
beli makan ramadan1
“Kita hidup di negara berbilang bangsa dan agama, maka kami benarkan yang bukan Islam datang makan di restoran kami dan pastikan kami tidak menjual makanan kepada orang Islam di waktu siang,” kata Husin. – Foto TRP/Kenneth Wan Kah Hoong
Pemilik gerai yang diwarisi sejak arwah bapa lagi, Zubaidah Mohd Zin berkata beliau selalunya memulakan perniagaan pada jam 2 petang dalam bulan puasa.

“Itupun kami hanya menyediakan lauk pauk untuk dibungkus dan dibawa pulang pada waktu petang sahaja kerana khuatir ada yang mengambil kesempatan membeli dan makan sebelum waktu berbuka puasa,” katanya.
beli makan ramadan3
Zubaidah berkata mereka hanya menyediakan lauk pauk untuk dibungkus dan dibawa pulang pada waktu petang sahaja kerana khuatir ada yang mengambil kesempatan membeli dan makan sebelum waktu berbuka puasa. – Foto TRP/Kenneth Wan Kah Hoong

Tiada ulasan: