Selasa, 23 Jun 2015

Suspek lanun akan diekstradisi dua hari lagi

 
APMM serah kepada KDN berhubung untuk mengekstradisi lanun dari Vietnam ke negara ini


lanun



PETALING JAYA: Proses mengekstradisi lapan lanun yang ditahan oleh tentera Vietnam kerana menjadi perampas Kapal Tangki MT Orkim Harmony dijangka memakan masa dua hari lagi.

Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada masa ini pihak Kementerian
Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama dengan dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia untuk membawa semua lanun terbabit bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.

Sehingga kini katanya, belum ada sebarang makluman diterima daripada pihak KDN berhubung perkara itu.

“Memandangkan proses ekstradisi ini adalah dalam bidang kuasa KDN, kita menyerahkan sepenuhnya tugas itu kepada mereka.

“Kita sedang menunggu maklumat terkini dan akan memberikan kerjasama jika diperlukan,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi FMT.

Pada Jumaat lepas, lapan suspek yang dipercayai merampas Kapal Tangki MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21juta ditahan pihak berkuasa Vietnam selepas mereka menceroboh perairan negara berkenaan.

Terdahulu sebelum itu, kesemua mereka telah melarikan diri dengan menaiki bot penyelamat kapal yang terdapat pada kapal tangki berkenaan.

Mereka dijumpai di Pulau Tho Chu, 80 batu nautika dari selatan Vietnam dan 107.4 batu nautika dari sempadan negara dan Indonesia.

Tiada ulasan: