Rabu, 24 Jun 2015

SPRM teliti laporan media asing dakwa pegawai MARA terbabit penipuan jual beli hartanah di Australia

THE RAKYAT POST


SPRM-Dudley International House_Caulfield East_sold for more than $22m-The Age
Foto dari portal akhbar The Age menunjukan kompleks asrama penginapan pelajar Dudley International House di Caulfield East, Melbourne yang didakwa dijual pada harga A$22.5m (RM65.2 juta) lebih tinggi A$4.7 juta dari nilai pasaran sebenar iaitu A$17.8 juta dan lebihan itu dilapor dibayar sebagai rasuah menggunakan alasan "khidmat jururunding dan nasihat" dari firma Malaysia.



KUALA LUMPUR-  Ketika pucuk pimpinan Majlis Amanah Rakyat (MARA) hanya akan membuat kenyataan esok, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata akan meneliti laporan portal berita luar negara yang mendakwa pegawai kanan agensi itu terlibat dalam penipuan urus niaga pembelian hartanah di Melbourne, Australia.


Menurut sumber, pihak SPRM akan meneliti laporan media berkenaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya benar terdapat unsur rasuah seperti yang dilaporkan.

“Setelah segala maklumat awal dikumpulkan dan terbukti adanya unsur rasuah, baharulah kita ambil tindakan mengikut Akta SPRM,” kata sumber SPRM itu dipetik daripada laporan agensi berita Bernama, Selasa.

Portal akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta ringgit dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne yang dilabel sebagai penipuan urus niaga hartanah.

Akhbar itu mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandaraya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa “membida lebih tinggi” bagi harga bangunan itu yang dikenali sebagai ‘Dudley International House”, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan jumlah perbezaan wang itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama penginapan pelajar, yang dibeli oleh MARA yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di sub bandar East Caulfield kini menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.

Pagi tadi, Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan kepada The Rakyat Post pihaknya akan memberikan penjelasan berhubung laporan media asing berkenaan pada sidang media pagi esok.

Beliau ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan satu sidang media berkenaan pada jam 10.30 pagi di Pejabat MARA di ibu negara.


Tiada ulasan: