SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang pegawai eksekutif pemasaran wanita yang disyaki mengaut keuntungan mencecah RM400,000 hasil suapan daripada pembekal emas dan berlian kepada syarikatnya.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah mengesahkan penahanan wanita itu yang berusia 30-an.

"Kami menahan wanita ini untuk membantu siasatan," kata beliau hari ini.

Sinar Harian difahamkan wanita ini melakukan perbuatan sejak beberapa tahun.‎

SPRM menahan dia hasil maklumat dan aduan yang diterima.

Difahamkan w‎anita ini kesan menggunakan taktik serampang dua mata meminta suapan daripada pembekal bagi membolehkan syarikatnya memperoleh barang kemas berkenaan selain menerima komisen yang ditetapkan syarikat.

K‎egiatan wanita berkenaan menjatuhkan reputasi syarikat yang dilihat seolah mengenakan bayaran tertentu kepada pembekal mereka.

Wanita terbabit dipercaya menyalah guna kuasanya dengan menetapkan bayaran tertentu kepada pembekal sedang k‎omisen yang diterima wanita itu bagi setiap pembekal adalah RM3,000.‎

Dalam pada itu, difahamkan SPRM juga sedang mengesan seorang lagi wanita diburu ketika beliau menjawat Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat disyaki memberi rasuah RM300,000 bagi membolehkan suaminya mendapat saham dalam syarikat  syarikat berkaitan kerajaan GLC di Pahang.

Wanita berusia 60an itu adalah antara beberapa wanita berjawatan kanan di syarikat swasta dan GLC yang dalam siasatan SPRM.