SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu yang dipercayai anggota sindiket memperdaya orang ramai kononnya boleh membeli tanah di kawasan Gombak, Selangor.

Kedua-dua individu berkenaan yang berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an ditahan reman selama seminggu mulai semalam.

Mereka ditahan oleh SPRM kelmarin.

Salah seorang merupakan bekas kakitangan kerajaan yang dipercayai bertindak sebagai 'orang tengah'.

Sumber memberitahu bahawa kedua-dua suspek telah menerima wang sebanyak RM600,000 daripada tiga orang awam dengan menunjukkan pelan kedudukan lot tanah.

"Kami telah memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan," kata sumber kepada Sinar Harian Online.

Katanya, siasatan meliputi pelbagai sudut dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.

"Siasatan juga memfokus sama ada terdapat kaitan dengan mana-mana individu di Pejabat Tanah," kata sumber itu lagi.