Jumaat, 26 Jun 2015

SKMM bertindak jika pelayan portal Sarawak Report di Malaysia

Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia masih tidak mengetahui di mana pelayan portal laman web Sarawak Report berada untuk memungkinkannya diambil tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Jun, 2015.Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia masih tidak mengetahui di mana pelayan portal laman web Sarawak Report berada untuk memungkinkannya diambil tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insider



Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh mengambil tindakan terhadap laman web Sarawak Report jika portal itu menggunakan sumber di Malaysia.

Shabery bagaimanapun berkata setakat ini SKMM masih tidak mengetahui di mana pelayan portal itu berada.

"Kita tidak tahu di mana pelayan portal Sarawak Report. Kalau ada yang kita boleh ambil tindakan, kita akan buat.

"Kalau ia menggunakan sesuatu dalam kuasa undang-undang kita, SKMM akan cari jalan untuk ambil tindakan kepada mereka. Bukan Sarawak Report, tetapi orang yang menggunakan Sarawak Report.

“Banyak yang boleh kita siasat dan ambil maklumat tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Digi Empwer Societies di ibu pejabat Digi telecommunications Sdn Bhd (Digi) di Shah Alam, hari ini.

Berhubung salah guna maklumat, beliau berkata pihak PetroSaudi juga sudah meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

"Perkara ini mungkin satu ketika dahulu orang menganggap ini adalah langkah PetroSaudi untuk menyembunyikan sesuatu tetapi apabila polis di Thailand sudah mengambil tindakan terhadap individu tertentu, ertinya kita mempunyai sebab yang kuat untuk mempercayai dokumen tersebut ditokok tambah bagi tujuan tertentu."

Katanya, selama ini rakyat Malaysia percaya dengan maklumat-maklumat sedemikian walaupun mengetahui keputusan terletak di tangan mahkamah berhubung penyelewengan, kehilangan wang serta terdapat hutang tertunggak dalam syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ramai orang percaya dan memberikan penilaian yang salah terhadap negara kita, sebab itu bila berlaku perkara ini, semua pihak mesti mengaku mereka terpaksa berhati-hati dan terpaksa mengakui kemungkinan menggunakan fakta tidak benar selama ini.

"Rakyat Malaysia perlu tangani apa yang dituduh selama ini tidak mempunyai asas yang kuat," katanya. –

Tiada ulasan: