SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai motif tersendiri untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrir berkata, niat tersembunyi Dr Mahathir terserlah apabila beliau dilihat cuba mendapatkan penjelasan secara terbuka mengenai isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga mencetuskan provokasi.

“Kalau Tun Mahathir nak jawapan, tak jadi masalah, Datuk Seri Najib boleh beri penerangan tambahan tentang apa yang sedang berlaku sekarang.

“Maknanya nak dapat penerangan, Tun Mahathir boleh dapat penerangan terus daripada Najib, tapi kalau nak konfrontasi, itu yang tak manis, tentu ada tujuan lain,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, semalam.

Malah katanya, isu 1MDB adalah isu lama pembangkang kerana perkara itu pernah dibawa kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ketika wakil DAP Tony Pua menjadi ahli PAC sebelum PRU13.

Sementara ketika diminta untuk mengulas  lanjut  insiden program NothingToHide yang dihadiri Dr Mahathir, Shahrir berkata Dr Mahathir sepatutnya tidak hadir, kerana kehadirannya telah menimbulkan persepsi negatif.

“Kemunculan Tun Mahathir nak dengar atau nak menyoal saya rasa tak sesuai sebagai seorang bekas PM datang kerana program itu bukan medan yang adil untuk dapat penerangan.

“Jadi pada saya, adalah bijaksana Datuk Seri Najib untuk tidak masuk kepada suasana begini kerana ia akan cetuskan suasana berbalah sesama sendiri sedangkan kita rasa ada cara lain kalau benar-benar nakkan kefahaman,” katanya.