MALAYSIAKINI
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyalahkan bekas perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa serangannya terhadap
Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan menjadi faktor penyusutan nilai
ringgit ketika ini.
Ahmad yang juga MP Pontian minta Dr Mahathir itu menghentikan serangan
terhadap perdana menteri kerana ia boleh kesan negatif terhadap ekonomi
negara, lapor Utusan Malaysia Online awal pagi ini.
Malah, dalam laporan itu, timbalan menteri kewangan itu turut berkata
kesemua 15 perkara yang dibangkitkan sebelum ini telahpun dijawab oleh
perdana menteri.
"Seperti mana yang dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti
Aziz, ekonomi negara masih berada pada asas-asas yang betul berdasarkan
pada rizab yang kukuh, ekonomi berkembang dengan positif, inflasi
terkawal dan kadar pengangguran yang rendah.
"Namun isu serangan yang dilakukan oleh Dr Mahatir ditambah dengan
sokongan pihak tertentu turut dikatakan menjadi faktor kepada penyusutan
ringgit ketika ini,” katanya seperti dilapor oleh portal berita itu.
Laporan itu juga menyebut Ahmad ditanya kesan berterusan jika berlaku
penyusutan nilai ringgit, beliau berkata ia akan menyebabkan barangan
import mengalami kenaikan harga kerana urus niaga menggunakan dolar
Amerika.
"Jika keadaan itu berlaku, keadaan ekonomi negara bertambah sukar,
biarpun pada dasarnya ia tidak akan berlaku dengan adanya asas ekonomi
yang kukuh, namun dibimbangi perkara itu tidak dapat dielakkan,”
katanya.
Laporan itu juga menyebut Ahmad menegaskan Najib tidak akan meletak
jawatan hanya disebabkan oleh permintaan seorang individu dan akhirnya
rakyat akan mengetahui apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir tidak membawa
sebarang kebaikan dan menjatuhkan imej dan maruah negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan