Khamis, 4 Jun 2015

Separuh perbelanjaan 1MDB meragukan – Rafizi

FREE MALAYSIA TODAY
 
1MDB perlu membuktikan syarikat yang dilaburkan itu mempunyai bangunan, kilang, tanah dan saham untuk mematikan spekulasi


rafizi-ramli



PETALING JAYA: Pendedahan perbelanjaan 1MDB telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya separuh dari RM42 bilion jumlah pinjaman telah dibelanjakan bagi tujuan yang diragui.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, perbelanjaan itu juga mungkin bertentangan dari kelulusan awal Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini kerana, katanya, sejumlah RM15.4 bilion yang dilaburkan menerusi syarikat-syarikat yang tidak dapat dipastikan aktiviti perniagaan atau asetnya iaitu Brazen Sky, Aabar dan 1MDB GIL.

Katanya, ia sekali gus mengesahkan bahawa 1MDB tidak boleh menerangkan ke mana wang itu telah dibelanjakan.

“Jika syarikat-syarikat ini mempunyai bangunan, kilang, tanah, saham dan lain-lain maka sudah tentu 1MDB boleh menunjukkan aset-aset ini untuk mematikan sebarang spekulasi,” katanya menerusi kenyataan media.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendedahan perbelanjaan 1MDB juga menunjukkan aset yang dimiliki tidak mampu membayar hutang RM42 bilion malah tidak sampai pun separuh jumlah hutang itu.

“Pembelian syarikat-syarikat penjana bebas dari Ananda Krishnan dan Genting dikhuatiri dibuat pada harga yang merugikan rakyat.

“Pengumuman 1MDB mengesahkan bahawa bukan sahaja 1MDB membeli pada harga yang lebih mahal malah turut menanggung hutang RM6 bilion dari syarikat-syarikat itu,” katanya.

Dalam pendedahkan perbelanjaan, 1MDB memaklumkan, RM18 bilion dibelanjakan untuk pembelian janakuasa bebas milik Ananda Krishnan dan Genting, RM1.7 bilion pembelian tanah keajaan, RM5.8 bilion perbelanjaan kewangan, RM15.4 bilion dana pelaburan manakala RM0.9 bilion lebihan tunai yang kesemua berjumlah RM41.8 bilion.

Sehubungan itu, Rafizi menyeru supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat sehinggalah satu laporan dapat dibentangkan di Parlimen untuk menyenaraikan semua perbelanjaan secara terperinci yang melibatkan hutang RM42 bilion itu.

Tiada ulasan: