'Saya tak mampu bina rumah' Ramli menerima replika kunci rumah yang disampaikan Mohd Amar sebagai simbolik penerimaan rumah bantuan banjir di Kampung Limau Nipis, baru-baru ini.
 
 
MACHANG - Hasrat enam beranak di Kampung Limau Nipis dekat sini, untuk berpindah ke kediaman baharu sebelum Ramadan tercapai apabila rumah mereka siap sepenuhnya, minggu lalu.

Ramli Abdul Rahman, 62, atau lebih mesra dipanggil Abang Soh dalam kalangan penduduk berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyiapkan rumahnya sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, rumah asalnya musnah akibat banjir pada gelombang pertama dan mereka sekeluarga tinggal di rumah sementara selepas itu.

“Kami baiki rumah lama yang masih tinggal dan duduk di situ sejak Disember lalu. Saya berterima kasih kepada Majlis Tindakan Dun Kemuning yang banyak membantu saya dan keluarga termasuk menyediakan rumah ini.

“Saya tak mampu lagi bina rumah baru buat keluarga dan hidup bergantung kepada pendapatan sebagai penoreh getah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Banjir  di Kampung Limau Nipis, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, kunci rumah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail.

Ramli berkata, banjir besar pada tahun lalu mengejutkan keluarganya yang tinggal di tepi Sungai Bukit Bakar dekat sini, kerana ia pertama kali berlaku seumpamanya.

Tambahnya, ketika kejadian dia bersama seorang saudaranya, Mat Yusuff Harun, 50, berada di dalam rumah sementara ahli keluarga yang lain berpindah ke rumah jiran terdekat.

“Tiba-tiba kami rasa rumah bergegar dengan kuat, lantas mengambil keputusan keluar menyelamatkan diri. Kejadian berlaku dengan cepat, selepas lima minit kami keluar, rumah runtuh dan dihanyutkan arus deras tanpa sempat menyelamatkan barang-barang di dalamnya.

“Kejadian banjir di kawasan ini adalah perkara biasa, namun kali ini air naik dengan mendadak berserta arus deras,” katanya.

Sementara itu, Mohd Roseli berkata, rumah tersebut dibina secara bergotong-royong sejak tiga bulan lalu dengan kos sebanyak RM35,000.

“Diharap keluarga Ramli dapat menjalani ibadah puasa seperti biasa sama seperti tahun-tahun sebelumnya selepas menerima kunci rumah ini,” katanya.