KUALA LUMPUR: Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kandasamy hari ini tampil dengan satu kenyataan tegas bagi membidas kritikan dan dakwaan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai syarikat pelaburan yang diterajuinya.

 

Arul menegaskan beliau adalah seorang profesional dan akan terus bertindak secara profesional dalam melaksanakan tanggungjawab yagng diamanahkan kepada beliau dalam syarikat berkenaan.

“Sebagai profesional, saya bertanggungjawab sepenuhnya dalam setiap tindakan diambil dan bertanggungjawab kepada Lembaga Pengarah 1MDB serta pemegang saham iaitu Kementerian Kewangan.

“Malah dalam konteks semasa sekarang, saya turut bertanggungjawab kepada Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Semua pihak yang disebut itu, kata Arul adalah pihak berkuasa yang sah untuk layak menentukan sama ada beliau pernah berbohong atau tidak seperti yang didakwa Dr Mahathir kerana mempunyai akses sepenuhnya kepada semua maklumat.

“Saya akan terus menjalankan tugas dengan cara yang profesional, dan memberikan semua maklumat yang diperlukan bagi membantu pihak berkuasa yang sah untuk menyemak kebenaran mengenai 1MDB,” kata Arul menjawab persoalan yang dibangkitkan Dr. Mahathir di laman blog chedet.cc milik beliau semalam.

Mengulas soalan berhubung dakwaan kehilangan dana sebanyak RM42 bilion daripada 1MDB, Arul menarik perhatian Dr Mahathir terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perkiraan dan siasatan terperinci terhadap semua fakta berkaitan tuduhan itu oleh pihak berkuasa yang terlibat diperlukan supaya tidak ada sebarang salah tafsir.

Arul juga mengingatkan Dr Mahathir mengenai jaminan Najib yang juga Menteri Kewangan bahawa jika terbukti ada salah laku, maka tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak, dan beliau sendiri menyokong penuh kenyataan tersebut.

Arul juga menjelaskan beliau pada mulanya dilantik untuk melaksanakan kajian strategik ke atas syarikat pelaburan milik kerajaan itu dan kini sedang mengetuai pelaksanaan pelan rasionalisasi perniagaan yang dibentangkan kepada Kabinet dan diluluskan 29 Mei lalu.

“Saya menegaskan bahawa 1MDB komited sepenuhnya dalam usaha untuk melaksanakan pelan rasionalisasi seperti yang dibentangkan kepada Kabinet.

“Pelan ini akan mengurangkan paras hutang syarikat dan ia berjalan lancar seperti yang dibuktikan oleh pembayaran balik pinjaman sebanyak RM3.6 bilion yang diumumkan pada Isnin lalu,” tegasnya.

Arul turut menjelaskan mengenai dakwaan bahawa jawapan yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan di Parlimen telah dipinda.

Menurut beliau, perkara itu telah diakui oleh kementerian berkenaan yang telah menerangkan ia berlaku disebabkan kekeliruan mengenai beberapa maklumat yang diberi oleh 1MDB.

“Sebagai Presiden syarikat, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas salah faham tersebut dan akan memastikan komunikasi yang lebih baik dengan semua pihak yang berkepentingan selepas ini.

“Seperti yang dijelaskan oleh MOF, langkah-langkah yang bersesuaian akan dilaksanakan bagi mengelakkan perkara ini berulang pada masa depan,” katanya.