Selasa, 9 Jun 2015

Ribut musnahkan 50 rumah, gerai

Ribut musnahkan 50 rumah, gerai Kelihatan kepingan bumbung rumah penduduk yang rosak akibat diterbangkan ribut kelmarin.
 
 
KLANG - Lebih 50 rumah dan gerai di sekitar Kampung Sungai Udang, Telok Pulai dan Kampung Delek rosak akibat dilanda ribut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi, Zabariah Ali, 45, berkata ketika kejadian, dia sedang memberi kucing makan di luar rumah, sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat seolah-olah kawasan perumahan itu dilanda puting beliung.

“Apabila bunyi semakin kuat, saya lihat gumpalan berwarna putih menuju ke arah rumah jiran dan menjerit memanggil suami yang berada di dalam rumah.

“Dalam keadaan ketakutan, saya sempat menyuruh suami melaungkan azan sebelum ribut reda beberapa saat kemudian,” katanya.

Sementara itu, Zabariah berkata, akibat ribut berkenaan, bumbung hadapan rumah jirannya, Hamidah Zainal, 62, diterbangkan angin kencang, termasuk beberapa rumah jiran di sekitar kawasan berkenaan yang turut mengalami nasib sama.

Seorang peniaga, Abdul Khir Said, mengakui, kejadian ribut kelmarin yang paling teruk melanda kawasan berkenaan.

“Sebelum ini ribut pernah melanda tetapi kali ini lebih kuat berikutan banyak pokok tumbang serta bumbung rumah dan gerai di sekitar Kampung Delek terjejas teruk.

“Ketika kejadian, saya tergerak hati untuk melihat keadaan gerai selepas mendengar berita kawasan sekitar dilanda ribut.

“Tidak sangka, gerai kami turut musnah termasuk kediaman adik yang berada di kawasan berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, dimaklumkan beberapa pusat gerakan bencana sementara dibuka oleh Majlis Perbandaran Klang sejak malam kelmarin bagi membantu mangsa.

Tiada ulasan: