Isnin, 1 Jun 2015

Pulangkan keuntungan minyak kepada rakyat

 
Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak boleh diterima sebagai alasan bahawa kerajaan telah memulangkan hasil negara kepada rakyat.


Khairuddin-Aman_petrol_600


PETALING JAYA: Kerajaan sepatutnya menggunakan keuntungan hasil kenaikkan harga minyak di pasaran global untuk menampung subsidi minyak kepada rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Khairuddin at-Takiri berkata, pendapatan negara semakin meningkat dengan kenaikan harga minyak di peringkat antara bangsa.

Katanya, disebabkan kenaikan itu juga, kerajaan menaikkan harga runcit bahan api bagi Jun dinaikkan sebanyak 10 sen berkuatkuasa 1 Jun.

“Jika sebelum ini Kerajaan menghapuskan subsidi dengan alasan pendapatan Kerajaan berkurang berikutan kejatuhan harga minyak global, kenapa tidak keuntungan daripada kenaikan semula harga minyak ini dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak boleh diterima sebagai alasan bahawa kerajaan telah memulangkan hasil negara kepada rakyat.

“Ini kerana, isi rumah yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 hanya menerima RM750 setahun. Sedangkan, golongan berpendapatan rendah pun sudah menggunakan sehingga 150 liter minyak sebulan iaitu RM307.50 atau RM3,690 setahun.

“Bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sebenarnya adalah berganda lebih besar berbanding ‘bantuan’ yang disalurkan oleh Kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia sepatutnya memulangkan hasil bumi itu kepada rakyatnya pada harga yang berpatutan.

“Namun, Kerajaan Barisan Nasional terus boros berbelanja dan menekan rakyat sendiri, untuk menampung bebanan hutang, termasuk 1MDB akibat tadbir urus kerajaan yang lemah dan korup,” katanya.

Tiada ulasan: