Khamis, 11 Jun 2015

PSM minta SPRM siasat kerajaan Negeri Sembilan

 
PSM mendakwa Kerajaan Negeri Sembilan dan PKNNS telah melanggar arahan mahkamah


Arutchelcvan,psm,sprm


PETALING JAYA: Seorang Ketua Pemuda dari sebuah parti politik didakwa menerima kontrak menebang dan membersih pokok-pokok getah di Ladang Gatco, Negeri Sembilan.

Dakwaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelcvan.

Beliau mendakwa, selain ahli politik, syarikat swasta juga diberikan kontrak pembersihan ladang getah itu yang merupakan projek lumayan.

Katanya, pihak-pihak yang terlibat dalam projek menebang dan membersih pokok getah di ladang itu telah melanggar arahan mahkamah.

Katanya, laporan polis pernah dibuat oleh penduduk yang merupakan peneroka di ladang itu.

“Satu siasatan perlu dibuat siapa yang untung kerana menebang pokok ini, berapakah keuntungan yang diperolehi dan siapakah kontraktor yang terlibat?

“Siasatan perlu dibuat segera dan sehingga itu semua pencerobohan ke atas tanah tersebut harus dihentikan sehingga Mahkamah Persekutuan memberikan satu keputusan,” katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik di di laman Facebook PSM pada Khamis.

Menurut Arutchelvan lagi, peneroka yang menghalang pencerobohan ke atas tanah di Ladang Gatco pada Selasa lalu hanya berbuat demikian kerana setiap pokok getah yang ditebang memberi impak kepada kehidupan mereka.

Dakwa beliau lagi, tindakan peneroka itu adalah ekoran keputusan mahkamah sebelum ini yang telah memihak kepada mereka.

Namun katanya, polis dan beberapa anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) telah bertindak sebaliknya, apabila menahan peneroka yang mahu mempertahankan hak mereka dengan membela pula pihak yang menceroboh dan telah menghina keputusan mahkamah.

Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyiasat kerajaan Negeri Sembilan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNSS) kerana melanggar arahan mahkamah.

FMT telah menyiarkan beberapa keping gambar yang telah disebar di laman Facebook menunjukkan pergaduhan antara peneroka dan pasukan polis serta RELA.

Kejadian yang didakwa berlaku di Ladang Air Hitam pada Selasa dimuatnaik di laman Facebook rasmi PSM dengan sekeping gambar menunjukkan seorang peneroka cedera di kepala selepas dipukul oleh anggota polis.

Tiada ulasan: