KUALA LUMPUR - Imej kerajaan dan perkhidmatan awam akan bertambah baik sekiranya orang politik di peringkat atasan menjauhi pelbagai salah laku termasuk rasuah dan penyelewengan kuasa.

Demikian kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sambil menyifatkan golongan itu paling bermasalah kerana boleh mempengaruhi semua peringkat kerajaan dengan persepsi negatif.

"Merekalah yang perlu membuat perubahan kepada diri mereka untuk memperbaiki persepsi buruk itu, bukan dengan ucapan tetapi dengan menjauhkan diri daripada terlibat dalam rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dan projek-projek yang boleh dipersoalkan.

"Ianya adalah bentuk politik yang kita telah bina, sama ada dengan sengaja atau tidak dan kita telah mewujudkan politik suapan dan pembaziran," katanya pada perasmian Seminar Kelestarian Integriti Dalam Perkhidmatan Awam: Antara Isu dan Cabaran di Institut Integriti Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid juga mendakwa, sikap yang ditonjolkan orang politik telah mencalarkan integriti kerajaan apabila mereka mencampuri soal pentadbiran.

"Jika mereka campur tangan untuk memastikan bahawa dasar dan peraturan yang mereka tetapkan dipatuhi, tidak mengapa.

"Tetapi, apabila mereka campur tangan kerana kepentingan diri, penyokong atau parti, maka ia akan menyebabkan pelaksanaannya menyimpang daripada dasar yang telah ditetapkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keinginan politik mereka untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan salah laku tersebut hingga menyebabkan politik suapan menjadi budaya dalam penjawat awam.

"Politik suapan ini telah menjadi sebahagian daripada budaya kita, sehinggakan orang-orang di peringkat bawahan pun mengharapkannya.

"Politik suapan dan pembaziran itu memerlukan wang. Maka parti-parti yang bertanding perlu mencari wang," katanya lagi.