KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menggesa lebih banyak institusi kewangan tampil menawarkan skim pembiayaan kewangan mikro.


Menurutnya perkara itu perlu bagi membantu golongan yang ingin memulakan perniagaan francais khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Kita mahu lebih banyak usahawan menerima bantuan dan keperluan yang mereka perlukan bagi memulakan perniagaan francais.

“Saya menyeru semua pihak menyokong pengusaha francais terutama golongan muda untuk melebarkan perniagaan mereka.

“Industri francais Malaysia sudah melakukan lonjakan besar sejak kerajaan memperkenal Pelan Tindakan Pembangunan Francais Negara pada 2012,” katanya pada perasmian persidangan dan pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Pelan tindakan itu yang antara lain merangkumi arah tuju, bagi meningkatkan daya saing francais Malaysia serta mentransformasikan perniagaan negara menerusi pembiayaan.

Kini negara mempunyai Pelan Tindakan Pembangunan Francais (2016-2020) yang berpotensi mewujudkan 50,000 pekerjaan baharu dalam tempoh itu, katanya yang jjuga Menteri Kewangan.

Dalam Bajet 2015, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi meningkatkan industri francais, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merangka Program Eksport Francais yang bermatlamat menggandakan angka jenama dan premis francais Malaysia di luar negara.

Jelas Najib, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, industri francais digalakkan menceburi sektor yang lebih menguntungkan pada masa hadapan seperti pendidikan, produk hijau dan ‘medical tourism’.

Dalam pada itu, katanya beliau bangga dengan pencapaian 60 syarikat francais Malaysia yang berjaya menembusi 55 negara luar.

Katanya produk yang dibawa syarikat berkenaan sehingga kini melibatkan 2,160 outlet di seluruh dunia.
“Saya bangga usaha kita kini telah dikenali di peringkat antarabangsa.

“Ini satu usaha penting dalam konteks menjayakan industri francais sebagai salah satu cabang ekonomi.

“Kejayaan menembus pasaran global oleh 60 syarikat kita.. Saya bangga dengan kejayaan ini,” katanya.

Sebanyak 85 buah syarikat francais menyertai pameran FIM 2015 termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Korea dan Taiwan.

Pada FIM 2015 selama dua hari itu, empat syarikat tempatan – Naza Tutti Fruitti, Marybrown, Kubah Emas Resources dan Smart Reader Worldwide, menandatangani memorandum persefahaman dengan pelbagai syarikat antarabangsa.