KOTA BHARU – Dua rakan dalam komponen PR, iaitu PKR dan DAP tidak seharusnya memandang rendah kemampuan Pas untuk jika mahu bersendirian selepas muktamar ini, termasuklah dalam isu melaksanakan hudud di Kelantan.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tiada apa yang menguntungkan Pas jika masih berada di dalam PR memandangkan perjuangan hududnya juga ditentang rakan komponen dan kepimpinan tertinggi dikritik dengan mudah.

“Tidak timbul soal sama ada Pas mampu berjuang bersendirian atau tidak kerana di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1959, 1964, 1969, 1978, 1982 dan 1986 pun Pas bersendirian dan mampu mencapai undi yang memberangsangkan juga. Malah mampu menguasai Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Menurutnya, Pas mempunyai kedudukan yang cukup stabil untuk bersendirian kerana beberapa faktor.

"Ini termasuklah keberadaan Dewan Himpunan Penyokong Pas dari kalangan bukan beragama Islam yang boleh mengambil alih peranan dimainkan oleh DAP selama ini walaupun terpaksa berdepan beberapa kumpulan yang pro-PR," jelas Kamarul Zaman lagi.

Beliau juga berkata, jika memang Pas sudah tidak sefahaman dengan DAP, kerangka kerja seperti dibuat di antara 2001 dan 2008 masih boleh diguna pakai iaitu Pas bekerjasama secara tidak langsung sahaja dengan parti pembangkang lain melalui perjanjian untuk tidak meletakkan calon di suatu kawasan pilihan raya yang sama.

“Melalui cara ini peluang masing-masing untuk mencapai kemenangan dan memperjuangkan prinsip tidak akan banyak terjejas. Jika perpecahan berlaku.

"Ini akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan parti pembangkang untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara sahaja,” katanya.

Pensyarah Kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)  itu juga memberitahu, DAP berani menyerang Pas kerana beberapa sebab terutamanya soal prinsip yang cuba dilaksanakan Pas adalah bertentangan dengan prinsip perjuangan sekular DAP serta berada di luar kerangka manifesto pilihan raya dan dasar bersama PR.