Ahad, 21 Jun 2015

Perompak MT Orkim Harmony bawa sejumlah mata wang asing

THE RAKYAT POST

perompak
Lapan lanun yang merompak MT Orkim Harmony, ditahan di Pulau Tho Chu, Vietnam pada Jumaat lalu. - Foto Bernama



HANOI - Lapan lelaki yang mengaku merompak kapal tangki MT Orkim Harmony dari Malaysia, bertutur dalam bahasa Indonesia dan membawa sejumlah wang tunai, ketika mereka ditahan pihak berkuasa Vietnam, pada Jumaat lalu.


Media negara terbabit, VNExpress hari ini melaporkan, kumpulan lanun yang ditahan tidak jauh dari Pulau Tho Chu, barat daya Vietnam itu, pada mulanya mendakwa kononnya mereka mengalami kemalangan di tengah laut.

Lapan lelaki berusia 19 hingga 61 tahun itu berbahasa Indonesia dan “tidak boleh menjelaskan dari mana datangnya sejumlah mata wang asing dan berpuluh-puluh telefon bimbit yang dibawa mereka.”

“Mereka sangat degil dan enggan bekerjasama. Mereka amat profesional dan tenang,” kata Polis Marin Vietnam, Leftenan Do Van Toan yang dipetik portal berita itu.

Seorang lagi pegawai Polis Marin Vietnam, Kolonel Le Van Minh berkata, pihaknya mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa kesemua suspek itu.

“Vietnam bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam kes ini. Yang penting ialah cara untuk buatkan mereka mengaku jenayah yang dilakukan,” tambahnya.

Dalam pada itu, agensi berita Bernama memetik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar sebagai berkata, proses ekstradisi lapan suspek itu sudah dimulakan, bagi membolehkan mereka dibawa ke negara ini secepat mungkin.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa Vietnam telah mengesahkan lapan suspek itu telah mengaku terbabit dalam rompakan kapal tangki berkenaan.



Kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirompak pada minggu lalu, selamat berlabuh di Dermaga Petronas, Pelabuhan Kuantan. - Foto Bernama
Kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirompak pada minggu lalu, selamat berlabuh di Dermaga Petronas, Pelabuhan Kuantan, pada pagi Sabtu. – Foto Bernama

MT Orkim Harmony milik Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dengan 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang warga Myanmar, terputus komunikasi dengan pangkalan serta dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam 11 Jun lalu, di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Ketika kejadian, ia dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Kapal itu berjaya dikesan pada Khamis lalu, dengan nama asalnya ‘Orkim Harmony’ telah ditukar kepada ‘Kim Harmon’.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat lalu dan kapal tangki itu tiba di Pelabuhan Kuantan, pagi semalam.

Biro Maritim Antarabangsa yang berpangkalan di London mendesak kerajaan di Asia Tenggara mengambil langkah segera bagi mencegah kegiatan lanun berleluasa, selepas acap kali memberi amaran bahawa lanun paling aktif di perairan Asia Tenggara, berbanding perairan lain di dunia.

MT Orkim Harmony adalah sasaran terbaru kumpulan lanun yang semakin berani di Asia Tenggara, sejak dua tahun lalu, di mana kapal tangki kecil membawa muatan petrol, diesel dan gas asli sering dijadikan sasaran mereka.

Tiada ulasan: