IDEA menjadikan perkhidmatan dobi mesra pengguna menyebabkan Farrahanie Yasmin Ahmad Yusoff, 27, mengambil inisiatif memperkenalkan aplikasi telefon bimbit Laundry 15 Pickup&Delivery.

Aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia itu, menjadi taruhan Farrahanie Yasmin mencipta kelainan bagi pengguna setia perkhidmatan dobi miliknya.

“Pengguna tidak perlu lagi untuk menghantar atau menunggu pakaian dibasuh di dobi sebaliknya kami akan mengambil pakaian dari rumah. Mereka hanya perlu mengisi butiran maklumat pada aplikasi tersebut dan turut disertakan adalah kadar yang dikenakan untuk perkhidmatan itu.

“Selepas itu, kami akan datang ambil berdasarkan tarikh dan waktu yang telah ditetapkan dalam aplikasi tersebut,” katanya.  

Menurutnya, aplikasi yang dilancarkan pada awal tahun ini lebih tertumpu kepada pelanggan sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi.

“Kami menyediakan van untuk mengambil dan menghantar pakaian setelah dibasuh. Kami akan mengambil pakaian setiap Selasa, Rabu, Jumaat dan Ahad,” katanya.

Kata Farrahanie Yasmin, idea mencipta aplikasi itu timbul apabila ramai rakan-rakanya yang berkerjaya tidak sempat untuk menguruskan pakaian  kerana penat bekerja.

“Konsep ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di luar negara, tetapi masih belum sampai ke Malaysia. Pendekatan kami agak ke hadapan dan baharu dalam mendekati pengguna,” katanya.

Suami beri galakkan 

Mengakui kejayaannya adalah atas galakan dan sokongan suaminya Ahmad Amir Ismail, 30, yang menjadi tulang belakang dalam penghasilan aplikasi itu.

Kata Farrahanie Yasmin, suaminya mencipta dan mewujudkan aplikasi tersebut bagi memberi nilai tambah perkhidmatan dobi miliknya.

“Bagi masyarakat, dobi hanya sebagai tempat membasuh baju. Kami tidak mahu industri dobi ini berada di takuk lama dan mahu ia menjadi lebih menarik. Biar orang terkejut bahawa perkhidmatan dobi pun ada aplikasi.

“Suami saya, seorang jurutera tetapi menyukai perkara berkaitan teknologi maklumat (IT). Percubaan pertama melancarkan aplikasi itu berjaya menarik hampir 50 pelanggan untuk bulan pertama,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan disediakan mendapat reaksi positif pelanggan.

“Mereka memuji cara kami yang secara tidak langsung membantu menguruskan pakaian yang tidak sempat dibasuh,” katanya.

Dia dan suami sedang berusaha mempromosikan aplikasi tersebut dan bagi yang berminat boleh dapatkannya di Play Store atau Apple Store.

Perluas perkhidmatan dobi

Dia juga merancang membuka lebih banyak cawangan dobi miliknya tetapi tidak mahu terburu-buru bimbang tersilap langkah.

“Buat masa ini, kami ada cawangan di Nilai Impian, Negeri Sembilan yang dibuka penghujung tahun lalu.

“Untuk tahun ini, kami mahu buka tiga lagi cawangan sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur dan menambah van untuk perkhidmatan ambil dan hantar pakaian,” katanya.

Jelasnya, modal membuka kedai pertama dikongsi bersama suami.

“Modal kami pada ketika itu RM90,000 dan menjangkakan pulangan modal pada tahun ini sebelum membuka cawangan lain.

“Di kedai dobi kami ini juga menjalankan perkhidmatan dobi biasa dan mengambil kontrak cucian. Terbaru, kami mengambil kontrak membersihkan baju pekerja syarikat makanan( H5 Food Factory di Nilai 3) dan akan cuba menjalinkan hubungan perniagaan dengan syarikat lain,” katanya.

Cari kelainan untuk berjaya

Dia turut menasihati mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya mencari kelainan dalam sesuatu yang diusahakan.

“Untuk berjaya, kita perlukan sesuatu yang berbeza supaya dapat menarik minat pelanggan. Jangan takut untuk mencuba," katanya.