AMPANG - Buat pertama kalinya di negara ini, program kebajikan menerusi pendekatan baharu, ‘Peti Ais Rakyat’, diperkenalkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang sebagai saluran bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin berkata, inisiatif berkenaan diwujudkan setelah mengambil kira situasi ekonomi masa kini dalam masa sama sebagai langkah mengelakkan pembaziran makanan.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat enam restoran bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam menyalurkan bantuan makanan berlebihan untuk disumbangkan di ‘Peti Ais Rakyat’ ini.

“Perkara ini telah dicadangkan ke peringkat kerajaan negeri untuk dilaksanakan di Selangor, bagaimanapun, Parlimen Ampang menjadi model dalam pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.

“Menerusi program ini, masyarakat berkemampuan yang mempunyai makanan berlebihan tetapi bukan sisa, boleh salurkan sumbangan, dan sesiapa sahaja yang merasakan dirinya dan keluarga memerlukan makanan, boleh datang ambil. Jadi konsepnya adalah dari rakyat kepada rakyat,” katanya ditemui ketika pelancaran program amal berkenaan, baru-baru ini.

‘Peti Ais Rakyat’ ditempatkan di salah satu premis di kawasan tempat letak kereta, Satay Station, Ampang dan dibuka setiap hari kecuali Rabu, dengan waktu pemberian bermula jam 7 malam hingga 11 malam manakala waktu penerimaan ditetapkan pada jam 9 pagi hingga 11 malam.

Zuraidah menambah, sesiapa sahaja boleh menyumbangkan makanan dengan syarat ianya hendaklah halal, dan makanan atau lauk yang dimasak mesti dalam keadaan baik.

“Makanan segar seperti ayam, ikan, daging, sotong, buah-buahan dan sayur digalakkan dibungkus dan dilabel dengan rapi.

“Mana-mana individu yang mahu membuat pengumpulan makanan di sesuatu kawasan juga, kita ada petugas yang bergerak secara mobil untuk pengambilan,” katanya.

Projek amal berkenaan diharapkan mampu membantu mengurangkan beban masyarakat setempat di samping menggalakkan amalan bersedekah sempena Ramadan.