Selasa, 23 Jun 2015

Peniaga bazar Ramadan di Perak beri alasan GST naikkan harga hingga 20 peratus

THE RAKYAT POST

Ketika orang ramai digalakkan melakukan ibadah sepeti dengan bersedekah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti yang dilakukan pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam ini, pada Isnin, ada segelintir peniaga didapati memberikan alasan GST untuk menaikkan harga kuih muih. - Foto Bernama
Ketika orang ramai digalakkan melakukan ibadah sepeti dengan bersedekah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti yang dilakukan pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam ini, pada Isnin, ada segelintir peniaga didapati memberikan alasan GST untuk menaikkan harga kuih muih. - Foto Bernama



KAMPAR-  Peniaga bazar Ramadan di Perak didapati menaikkan harga makanan dari antara 10 hingga 20 peratus berbanding harga makanan yang dijual tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsuddin Abu Hassan.

Beliau berkata kebanyakan peniaga memberi alasan kenaikan harga berkenaan adalah disebabkan kesan kenaikan harga minyak dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan 1 April lalu.

“Ini adalah alasan yang sengaja diprovokasikan peniaga. Kalau kita lihat kepada kuih yang dijual, bahan asasnya adalah tepung yang merupakan barangan yang terkawal, sifar GST, tetapi peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kuih,” katanya.

Samsudin turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan supaya meletakkan tanda harga mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa supaya peniaga tidak mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, Samsudin juga menyeru kepada peniaga di bazar Ramadan supaya menitikberatkan etika kebersihan makanan yang dijual dan pemantauan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan di sini sempena program Turun Padang (TURPA) Ramadan anjuran Majlis Daerah Kampar.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Meor Ismail Meor Akim.

Pada program itu, seramai enam ketua isi rumah menerima cek bernilai RM1,488 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui data e-kasih.

Bantuan berkenaan yang diwujudkan sejak 2007 merupakan bantuan wang rumah sewa yang diberikan kepada ketua isi rumah bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Seramai 30 orang dari kawasan Kuala Dipang dan Malim Nawar, di sini turut menerima bantuan berupa makanan di bawah Program Sekilo Budi yang dianjurkan sejak 2011.

Tiada ulasan: