KUALA LUMPUR:  Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omardin Mauju meninggal dunia di Hospital Tawakal awal pagi ini, akibat komplikasi buah pinggang.

Menurut anak Allahyarham, Senator Datuk Megat Zulkarnain berkata Omardin yang berusia 74 tahun itu meninggal dunia pada 3.20 pagi ini setelah 15 hari menerima rawatan di hospital itu,

“Sebelum ini arwah ada menghidap barah tulang, daripada barah itu dia mengalami komplikasi buah pinggang dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Tawakal selama 15 hari,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jenazah akan disembahyangkan di Kompleks Lincah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah, Gombak selepas Zohor.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Raja Azizah Raja Ahmad Shah dan dua anak lelaki.

Omardin dipilih sebagai penerima pertama Anugerah Pendekar Malaysia pada Julai 2011.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perhimpunan PSSLM bersempena 50 tahun pertubuhan itu.

Anugerah khas itu diwujudkan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu sebagai pengiktirafan tertinggi negara kepada bidang seni mempertahankan diri.