Selasa, 9 Jun 2015

Pelantikan semula Ahmad Jauhari keputusan kejam – Nurul Izzah

 
Beliau mendesak Khazanah Nasional mengkaji semula pelantikan itu dan menjelaskan kriteria pemilihan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines


Nurul, Jauhari



PETALING JAYA: Pelantikan semula bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari sebagai Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines Berhad (MAB) merupakan tindakan tidak adil kepada 6,000 bekas kakitangan MAS yang dipecat.

Katanya, keputusan itu juga kejam kerana Ahmad telah gagal memberikan prestasi tetapi dibawa masuk semula dengan pelbagai faedah dan ganjaran lumayan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, Ahmad bertanggung jawab sepenuhnya terhadap salah tadbir urus MAS sehingga menyebabkan menanggung kerugian besar.

“Pelantikan Ahmad ini amat mengejutkan. Jika syarikat baru ditubuhkan untuk memasuki fasa baru, ia sepatutnya memutuskan hubungan terus dengan pentadbiran lama,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, laman sesawang Malaysia Airlines memaklumkan pelantikan itu berkuatkuasa Mei lalu.

Katanya, merujuk laporan kepada Bursa Malaysia, MAS mencatatkan kerugian RM4.22 bilion dalam tempoh September 2011 sehingga September 2015.

Bermula Jun 2015, kesemua 20,000 kakitangan MAS telah diberikan surat pemecatan dengan 14,000 ditawarkan semula bekerja dengan pengurusan baharu, MAB, manakala 6,000 telah hilang pekerjaan.

“Pelantikan ini jelas satu skandal apabila pihak yang bertanggungjawab dalam salah urus tadbir dan kegagalan MAS dibawa masuk kembali dengan menerima gaji Pengarah dan ganjaran lain manakala beribu pekerja yang setia telah diabaikan,” katanya.

Nurul Izzah berkata, Khazanah Nasional perlu memberi penjelasan terhadap keputusan kejam itu atau membatalkan pelantikan itu jika gagal mempertahankannya.

“Saya mendesak Khazanah Nasional mengkaji semula pelantikan Ahmad dan menjelaskan kriteria pemilihan Lembaga Pengarah MAB.

“Saya tidak dapat bayangkan bekas CEO MAS yang gagal menunjukkan prestasi yang baik dibawa masuk semula dengan pelbagai faedah sedangkan pekerja lain dipecat atas dasar penjimatan operasi,” katanya.

Tiada ulasan: