PETALING JAYA: Dua warganegara Kanada, antara 10 pelancong asing yang
berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu dilaporkan meminta bantuan
daripada Jabatan Luar Negaranya.
Menurut laporan The Canadian Press, jurucakap jabatan tersebut pada
Selasa berkata mereka menyedari dua warganegara Kanada itu tidak
dibenarkan untuk meninggalkan negara ini.
Malah, katanya, pegawai konsular Kanada di sini turut berhubung dengan pihak berkuasa.
Agensi berita tersebut berkata jabatan berkenaan tidak dapat
mengesahkan identiti dua individu terbabit dengan menegaskan bimbang
mengenai privasi mereka.
"Namun Kementerian Luar Malaysia mengenal pasti individu tersebut
sebagai pasangan adik beradik dari Kanada, Lindsey Petersen dan Danielle
Petersen," menurut laporan itu.
Pada Isnin, seorang lelaki warga Eropah berusia 38 tahun ditahan tetapi
dibebaskan semula pada hari yang sama kerana dia tidak terlibat bersama
10 pelancong asing itu.
Pada 30 Mei lalu, seramai 10 pelancong bergambar dalam keadaan berbogel dan membuang air kecil di atas puncak Gunung Kinabalu.
Gambar tersebut bagaimanapun menjadi viral di laman media sosial.
Tindakan tersebut mendapat kritikan penduduk Kadazandusun yang
menyifatkan perbuatan itu sebagai satu penghinaan kerana bagi mereka
gunung itu adalah tempat suci.
Penduduk tempatan di Sabah turut percaya bahawa kejadian gempa bumi di
Sabah pada Jumaat lalu yang menggorbankan 18 nyawa disebabkan tindakan
biadap pelancong asing tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan