KUALA LUMPUR: Ramai pekerja yang dikekalkan oleh Malaysia Airlines (MAS) untuk berkhidmat di syarikat yang baru, Malaysia Airlines Berhad (MAB), akan menghadapi kesukaran di masa hadapan.


Seorang pekerja MAS yang dikekalkan perkhidmatannya berkata ramai pekerja lain yang akan dipotong gaji.

“Hal ini tidak akan berlaku jika MAS masih berterusan menggunakan Subang sebagai ibu pejabat,” katanya.

Beliau berkata, dengan berpindah ke ibu pejabat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur ianya hanya menyusahkan para pekerja kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi disebabkan jarak perjalanan yang jauh.

Beliau menegaskan pekerja yang dipotong gajinya sebanyak RM3,000 terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 untuk kos perjalanan dan juga makanan ke KLIA, menjadikan jumlah keseluruhan untuk perbelanjaan adalah lebih kurang RM1,100 sebulan.

Beliau mempersoalkan bagaimana seseorang yang mempunyai keluarga dan tanggungan lain boleh bertahan dengan berbekalkan lebihan gaji RM1,500 selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada zaman dan umur sekarang, tanpa mengambil kira apa-apa pinjaman peribadi lain yang diambil oleh para pekerja.

“Sesetengah pekerja MAS berkata mereka tiada pilihan lain selain daripada mengurangkan kepada satu hidangan sehari bagi memenuhi keperluan,” katanya.

Kata beliau lagi, ianya sangat menyedihkan apabila para pekerja penerbangan terpaksa melakukan pengorbanan.

“Terdapat perbincangan di mana pekerja-pekerja menggunakan satu kereta untuk pergi ke tempat kerja bagi mengurangkan kos namun masalah utama yang dihadapi adalah ramai pekerja-pekerja MAS tinggal di pelbagai tempat, malah ada juga yang berkerja mengikut syif menyebabkan ianya sukar untuk dilakukan,” katanya.

Beliau berkata lagi, walaupun menggunakan bas untuk ke lapangan terbang ianya masih sukar kerana dari lapangan terbang, tiada perkhidmatan bas ke ibu pejabat MAS yang berhampiran dengan Terminal Tambang Murah lama.

Sumber berkata, keperluan dan kebajikan para pekerja seperti tidak diambil peduli apabila keputusan memindahkan ibu pejabat penerbangan dibuat